- Iklan -
Berita

Speaker bidas dakwaan orang kuat Umno Agong ‘murka’ dan ‘tinggikan suara’

Speaker Dewan Rakyat sifatkan dakwaan itu sebagai pembohongan terang-terangan, mengatakan sumbernya mungkin hidup di alam lain.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Pertemuan Sultan Abdullah Sultan Muzaffar Shah bersama Speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara disertai timbalan mereka. Gambar: Istana Negara
Pertemuan Sultan Abdullah Sultan Muzaffar Shah bersama Speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara disertai timbalan mereka. Gambar: Istana Negara

Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun dengan tegas menafikan dakwaan orang kuat Umno bahawa Yang di-Pertuan Agong teramat murka terhadap penjelasannya mengenai pembukaan semula Parlimen semasa pertemuan mengadap semalam.

Saiful Bahari Baharom yang memetik “sumbernya” mendakwa di laman Facebook bahawa Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah meninggikan suaranya kepada Azhar dalam pertemuan mereka di Istana Negara semalam.

“Saya anggap ia adalah satu dakwaan jelik yang tidak menggambarkan apa sebenarnya yang terjadi,” kata Azhar kepada MalaysiaNow, ketika beliau diminta mengulas dakwaan tersebut.

“Hakikatnya, ia merupakan pembohongan secara terang-terangan,” tambahnya.

Semalam, Azhar dan juga Speaker Dewan Negara Rais Yatim bersama timbalan-timbalan mereka dipanggil mengadap Sultan Abdullah, susulan kenyataan Agong yang mengulangi gesaannya supaya sidang Parlimen harus diadakan secepat mungkin.

Saiful selanjutnya mendakwa semua yang hadir dalam pertemuan itu bersetuju dengan Agong kecuali Azhar yang memberikan “alasan demi alasan” mengapa Dewan Rakyat tidak boleh bersidang.

“Saya rasa dia berada di alam lain, sama macam sumber dakwaannya itu,” kata Azhar ketika diberitahu mengenai dakwaan tersebut.

“Bertentangan dengan apa yang didakwanya, Rais dan saya memberikan komitmen dan kesediaan yang tinggi untuk mengadakan sidang ketika ia dipanggil untuk bersidang.”

Bagaimanapun, Azhar menambah mendedahkan perincian yang tidak relevan mengenai pertemuan bersama Agong itu adalah satu pelanggaran protokol.

Azhar dan Rais hari ini mengeluarkan kenyataan bersama mengatakan mereka mengemukakan cadangan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk persidangan khas diadakan sebelum 1 Ogos.

“Kedua-dua Yang di-Pertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat serta timbalan-timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat menjunjung titah titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan telah menyatakan komitmen dan kesediaan penuh Parlimen Malaysia untuk mengadakan persidangan Parlimen seperti yang dititahkan oleh Baginda Tuanku,” kata mereka.

Tinjauan di laman Facebook Saiful memperlihatkan serangkaian catatan yang menghina Muhyiddin dan pelbagai usaha kerajaan dalam membendung wabak Covid-19.

Dalam salah satu catatannya hari ini, Saiful menghina kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini yang mengatakan Muhyiddin dimasukkan ke hospital, mengatakan perdana menteri mungkin menghidap diarea kerana tidak tahan dengan makian yang ditujukan kepada beliau.

Pada 2018, Saiful membela Najib Razak berhubung pendedahan bekas perdana menteri itu menerima RM2.6 bilion ke dalam akaun banknya, mendakwa Dr Mahathir Mohamad juga menyimpan £65 juta (RM373 juta) dalam sebuah akaun bank di London.

Saiful turut mendakwa bahawa dia rapat dengan keluarga Mahathir, mengatakan wang itu disimpan dalam sebuah akaun bank di bawah nama bapanya di London.

Dia kemudian mendakwa wang itu sudah pun diserahkan semula kepada Mahathir.

“Maka, saya hairan dan kecil hati kerana Tun Mahathir membidas DS Najib seteruk-teruknya kerana akaun RM2.6 bilion itu,” tulisnya.