- Iklan -
Berita

Sabah benarkan rentas 3 daerah bagi e-hailing, penghantaran makanan

Keputusan itu membolehkan pergerakan rentas daerah tanpa surat kebenaran polis bagi perkhidmatan tersebut.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pekerja dalam perkhidmatan e-hailing Sabah boleh merentas tiga daerah utama negeri itu bermula hari ini.
Pekerja dalam perkhidmatan e-hailing Sabah boleh merentas tiga daerah utama negeri itu bermula hari ini.

Sabah memberi kebenaran rentas daerah bagi operasi perkhidmatan e-hailing, teksi berdaftar dengan e-hailing, dan penghantaran makanan sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0, melibatkan daerah Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang, berkuat kuasa hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun berkata, keputusan dibuat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Covid-19 itu, membolehkan pergerakan rentas daerah tanpa surat kebenaran polis bagi perkhidmatan tersebut.

Beliau berkata, kebenaran tersebut diberikan bagi memenuhi keperluan masyarakat dan operasi perkhidmatan itu perlu mengikut prosedur operasi standard ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.

“Masa operasi dibenarkan bermula 6.00 pagi hingga 8.00 malam setiap hari, dengan had kapasiti seorang penumpang (e-hailing) sahaja, kecuali tujuan perubatan atau kecemasan dengan had maksimum dua orang penumpang,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Sementara itu Masidi yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan Covid-19 berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah merekodkan sebanyak 193 kes baharu hari ini, menjadikan jumlah kumulatif wabak berkenaan 67,900 dengan tiga kes kematian dilaporkan masing-masing dua di Tawau dan satu di Sandakan.

Beliau berkata, seramai 319 pesakit Covid-19 sembuh dan dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah kumulatif 65,557 orang.

Katanya 1,473 pesakit sedang menerima rawatan masing-masing di hospital (451 orang), pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah awam (1,020 orang) dan dua orang di pusat tahanan sementara atau penjara.