- Iklan -
Berita

‘Lockdown’ atau tidak, ekonomi tetap berdepan impak pandemik, kata pegawai KWSP

Ketua Pegawai Strategi KWSP Nurhisham Hussein berkata kesihatan awam perlu diberikan keutamaan sebelum ekonomi negara.

Farhira Farudin
1 minit bacaan
Kongsi
Suasana PKP 3.0 yang lengang di ibu negara. Pemulihan ekonomi negara bergantung kepada tahap kesihatan seluruh warga.
Suasana PKP 3.0 yang lengang di ibu negara. Pemulihan ekonomi negara bergantung kepada tahap kesihatan seluruh warga.

Ketua pegawai strategi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini berkata negara tetap akan berdepan impak ekonomi sama ada sekatan pergerakan penuh dilaksanakan atau pun tidak bagi membendung penularan Covid-19.

Bercakap dalam sebuah forum Bank Dunia dalam talian mengenai laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia hari ini, Nurhisham Hussein merujuk kajian yang membandingkan impak pandemik terhadap ekonomi di Sweden dan Amerika Syarikat.

Katanya, walaupun Sweden tidak melaksanakan sekatan pergerakan penuh atau “lockdown” sebaliknya mengutamakan langkah-langkah seperti penjarakan sosial, kajian bagaimanapun mendapati negara itu turut menghadapi impak ekonomi yang sama seperti Amerika Syarikat.

“Jelas sekali impak ekonomi tetap akan berlaku sama ada anda laksanakan lockdown atau tidak,” katanya.

Beliau turut berkata kesihatan tidak boleh disamakan dengan ekonomi, kerana kesihatan mesti diutamakan bagi melihat pemulihan ekonomi yang lebih baik.

“Pandangan saya, tidak boleh disamakan antara ekonomi dan kesihatan.

“Dari sudut prioriti dalam dasar-dasar fiskal, anda mesti tangani isu kesihatan terlebih dulu,” katanya sambil menambah pemulihan ekonomi tidak akan berlaku jika sistem penjagaan kesihatan lumpuh.

“Jika kita tak dapat tangani pandemik, kita tak boleh bincang mengenai pertumbuhan dan pemulihan ekonomi,” tambah Nurhisham.

“Jika anda benarkan sistem penjagaan kesihatan lumpuh, ekonomi juga akan lumpuh. Jadi keutamaan pertama walau apa keadaan sekalipun, mestilah ditumpukan pada usaha menangani Covid-19.”