- Iklan -
Berita

Zafrul perlu fikir sebagai orang kerajaan, bukan orang bank

Krisis Covid-19 ini memberikan Zafrul peluang untuk menunjukkan pengetahuan beliau tentang industri perbankan bagi membantu rakyat.

Abdar Rahman Koya
3 minit bacaan
Kongsi

Antara ciri negara di bawah pemerintahan darurat adalah kuasa luas dimiliki kerajaan yang mentadbir.

Kuasa yang sangat luas, pada masa sama sah dari sudut undang-undang dan perlembagaan.

Dalam keadaan darurat berdepan virus ketika ini, kuasa luas yang ada di tangan pemimpin adalah sangat berguna bagi mencapai tujuan darurat itu – melindungi kesihatan awam pada masa sama kelangsungan hidup – ungkapan yang menandakan pendekataan kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19.

Perintah darurat ini membenarkan kerajaan mengambil alih aset swasta atas nama kepentingan umum.

Dengan kuasa sedemikian jugalah, arahan kerajaan supaya hospital dan hotel membuka premis mereka digunakan untuk rawatan pesakit Covid-19 dan pemberian vaksin, menerima respon positif.

Lain pula halnya dengan institusi perbankan kita, yang dikatakan mengaut untung berdekad-dekad lamanya dari keringat dan darah peminjam yang mahu memastikan tempat tinggal untuk keluarga, pendidikan anak-anak mahupun untuk memulakan perniagaan.

Ini kerana orang yang bertanggungjawab mengenai bank – Tengku Zafrul Aziz – sangat baik hati, bahkan terlampau baik sehingga menonjolkan dirinya seakan-akan menteri paling lemah sepanjang waktu darurat.

Adalah amat jelas, Zafrul selaku menteri kewangan mempunyai kuasa yang luas terhadap bank.

Tetapi beliau tampak memilih watak pegawai bank apabila bercakap mengenai usaha membantu peminjam supaya terus bertahan dalam mengharungi perintah kawalan pergerakan 3.0.

Menurutnya dalam kenyataan baru-baru ini, tidak semestinya kerajaan perlu menggunakan kuasanya untuk memaksa bank memberikan moratorium.

Zafrul turut mendakwa kebanyakan rakyat Malaysia masih mampu membayar semula pinjaman mereka, dengan memberi alasan 85% peminjam kembali membayar balik pinjaman mereka selepas tamat moratorium enam bulan yang diberikan tahun lalu.

Alasan sedemikian tidak kena pada tempatnya, dan mengabaikan hakikat iaitu ramai peminjam, terutama yang bukan daripada golongan B40, memilih untuk tidak memohon meneruskan moratorium kerana mereka kekurangan dokumen untuk membuktikan keadaan kewangan, di samping bimbang skor kewangan mereka terjejas.

Sebaliknya, moratorium automatik yang dipaksa ke atas bank seperti tahun lepas tidak akan memberi kesan terhadap skor kewangan seseorang.

Zafrul mengabaikan hakikat bahawa bank terus melaporkan keuntungan walaupun terpaksa menggantung kutipan pinjaman selama enam bulan di bawah moratorium tahun lepas.

Dan sekiranya hujah mengatakan keuntungan besar itu perlu bagi memastikan bank dapat memberi pinjaman-pinjaman masa depan, bagaimana pula dengan pegawai tertinggi sesetengah bank yang menerima bayaran bonus yang besar pada 2020, tahun di mana lebih 100,000 orang kehilangan kerja?

Hakikatnya, membuktikan kehilangan pendapatan dalam zaman “disruption” dan “gig economy” seperti sekarang bukannya mudah.

Apa yang membimbangkan, kenyataan Zafrul menunjukkan beliau menyerahkan sepenuhnya kepada bank untuk membuat keputusan.

Tidak sekali pun beliau dilihat memberikan amaran kepada bank yang enggan menangguhkan kutipan pinjaman mereka.

Zafrul bukan seorang ahli politik, dan dilantik sebagai menteri kewangan kerana pengalamannya dalam industri perbankan negara.

Krisis besar ini memberikan beliau peluang untuk menunjukkan pengetahuan beliau tentang industri tersebut bagi membantu rakyat.

Jaminan perdana menteri bahawa Malaysia akan menangani pandemik memberikan harapan kepada rakyat bahawa kehidupan akan kembali normal, di sebalik pelbagai serangan sinis dan penjelasan auta oleh seorang bekas perdana menteri yang terpalit skandal.

Zafrul tidak seharusnya membiarkan watak-watak demikian menggagalkan usaha kerajaan.

Meskipun dipersoalkan, banyak industri sudah diterima sebagai sebahagian daripada kehidupan. Sektor perbankan adalah antaranya.

Sektor ini juga menjadi sasaran sebuah jenaka:
Orang miskin asyik bekerja;
Orang kaya mengeksploitasi orang miskin;
Askar melindungi kedua mereka;
Si pembayar cukai membayar untuk ketiga-tiganya.
Bank? Ia merompak kesemua di atas.

Tugas Zafrul adalah untuk memastikan jenaka ini kekal sebagai cerita fiksyen, mengakui kesilapan beliau, dan bertindak memaksa bank untuk turut sama menelan ubat pahit dalam berdepan krisis pandemik.

Abdar Rahman Koya adalah CEO & editor MalaysiaNow.