- Iklan -
Berita

Sabah peruntukkan RM15 juta beri komputer riba kepada pelajar kurang kemampuan

Bantuan menerusi Fasa 1 program Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) itu akan dimulakan pada 19 Julai hingga 18 Oktober ini melibatkan pemberian 10,000 komputer riba.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor. Gambar: Bernama
Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor. Gambar: Bernama

Kerajaan negeri Sabah memperuntukkan RM15 juta bagi pemberian komputer riba kepada pelajar kurang berkemampuan yang mengambil peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tahun ini.

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor berkata bantuan menerusi Fasa 1 program Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) itu akan dimulakan pada 19 Julai hingga 18 Oktober ini melibatkan pemberian 10,000 komputer riba.

Beliau berkata pengagihan komputer riba untuk Fasa 1 itu membabitkan 9,842 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan, serta 158 pelajar dari Sekolah Menengah Agama Negeri.

“Kerajaan negeri berharap pemberian komputer riba ini akan membantu pelajar kurang mampu, ini adalah kaedah yang kita ambil untuk membantu agar pelajar ini supaya tidak tercicir dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Pemberian komputer riba Fasa 1 itu membabitkan ibu bapa atau penjaga pelajar yang termasuk dalam kategori e-kasih miskin tegar…komputer riba daripada pelbagai jenama itu boleh digunakan sehingga melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT),” katanya dalam kenyataan di Kota Kinabalu hari ini.

Beliau berkata kementerian tugas-tugas khas negeri bertanggungjawab menyediakan senarai pelajar mengikut kriteria ditetapkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Sabah manakala Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi negeri mengenal pasti komputer riba sesuai yang akan diagih kepada pelajar.

Katanya, Kabinet dan kerajaan negeri komited untuk mencari pelbagai kaedah bagi membantu pelajar kurang berkemampuan supaya tidak tercicir dalam pembelajaran susulan perlaksanaan PdPR di seluruh negara akibat penularan Covid-19.