- Iklan -
Berita

‘Saya bukan ahli politik’, speaker bidas naratif palsu dalam isu pembukaan semula Parlimen

Beliau turut berkata wujud isu Perlembagaan melibatkan cadangan sidang maya Dewan Rakyat.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun.

Rakyat Azhar Azizan Harun hari ini berkata wujud beberapa “naratif palsu” yang diuar-uarkan golongan yang menggesa Parlimen bersidang sepanjang perintah darurat sambil menambah sejak awal lagi beliau mengelak memasuki kancah debat mengenai isu yang dipolitikkan.

“Saya tak mahu terus keruhkan keadaan. Saya tak mahu masuk arena politik ini.

“Semua debat dan lagaknya setakat ini, malangnya, semuanya politik,” katanya dalam rancangan Consider This di Astro Awani dua hari selepas beliau menulis artikel panjang di MalaysiaNow bagi menjelaskan mengapa gesaan membuka semula sidang Parlimen tidak memiliki dasar yang utuh mengikut Perlembagaan.

Azhar berkata beliau memahami pandangan timbalannya, Azalina Othman yang baru-baru ini turut menulis surat bagi menggesa sidang Dewan Rakyat dilaksanakan semula.

“Dengan penuh rasa hormat, beliau bukan macam saya, dia ahli politik. Sebagai seorang ahli politik, ada keperluan dia ambil pendirian tertentu bagi manfaat politik. Saya pula tak ada keperluan untuk melakukannya, lebih-lebih lagi, pada kedudukan saya ini, apabila semuanya dipolitikkan, saya akan ambil jalan untuk elak,” katanya.

Beliau berkata adalah salah untuk mendakwa dirinya sebagai speaker memiliki kuasa untuk memanggil sidang Dewan Rakyat sambil menambah hanya Agong memiliki kuasa mutlak untuk memanggil atau menggantung Parlimen.

“Dakwaan itu hanya separuh benar. Agong sahaja yang miliki kuasa untuk panggil atau gantung Parlimen, namun beliau bertindak dengan nasihat kerajaan melalui perdana menteri,” katanya kepada Astro Awani.

Ahad lalu, Azhar menulis artikel panjang di MalaysiaNow yang mendakwa wujud isu kurang faham dalam kalangan pengkritik pelaksanaan darurat mengenai konsep pembahagian kuasa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata pandangan bahawa kerajaan tidak memiliki hak untuk menghentikan sidang Parlimen perlu dilihat dari sudut peruntukan Perlembagaan.

“Sama ada kita suka atau tidak, itu adalah kuasa Kabinet atau eksekutif dan kuasa itu digunakan,” tulisnya.

Ahli politik pembangkang dari Pakatan Harapan dan beberapa NGO yang dikaitkan dengannya memulakann proses undang-undang bagi mencabar keputusan kerajaan bagi membolehkan mahkamah mengisytiharkan perintah darurat yang diisytiharkan Agong tidak mengikut Perlembagaan.

Dalam temu bual semalam, Azhar berkata beliau sudah menghubungi ahli-ahli politik dan pihak istana berhubung pembukaan semula Parlimen, namun beliau tidak mahu ditarik masuk ke dalam kancah politik.

“Semua hal di Malaysia sekarang ini sudah dipolitikkan, baik yang betul mahu pun yang salah.

“Situasi yang kita hadapi sekarang amat menakutkan. Darurat diisytiharkan, dan saya fikir apa yang perlu menjadi fokus utama kerajaan yang mentadbir ketika ini adalah dua perkara: Covid dan situasi ekonomi. ”

Beliau berkata perintah darurat akan membenarkan proses menangani Covid-19 yang kritikal ketika ini dengan lebih cepat susulan pengalaman daripada perdebatan mengenai belanjawan kerajaan bagi tahun 2021.

Azhar berkata pihaknya sedang meneliti cara-cara melaksanakan sidang maya Dewan Rakyat namun ada perkara yang melibatkan isu Perlembagaan.

Beliau berkata pihaknya sudah menasihatkan Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda bagi membolehkan sidang maya dijalankan.

“Ini kerana Perlembagaan berkata mereka yang tidak hadir di Dewan tidak boleh mengundi.

“Kedua, setiap kali Agong panggil sidang Parlimen, tuanku akan keluarkan sebuah pengisytiharan yang akan diwartakan, mengatakan Dewan memanggil sidang, bertarikh sekian-sekian, waktu sekian-sekian dan ketiga, tempatnya di mana.

“Jadi ketika ini, Perlembagaan, pengisytiharan dan peraturan mesyuarat semuanya dibuat di atas dasar sidang dewan yang fizikal,” tambahnya.