- Iklan -
Berita

‘Poverty porn’ eksploitasi golongan miskin tanpa sedar

Walau poverty porn boleh tingkatkan kesedaran mengenai golongan yang memerlukan bantuan, namun apakah bantuan yang penuh publisiti mendapat persetujuan mereka yang dibantu?

Siva Selan dan Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi

Pemandangan yang biasa kita lihat dalam media sosial: ahli-ahli politik dan tokoh masyarakat menandatangan dan menyerahkan derma kepada golongan miskin lebih-lebih lagi ketika tempoh bencana seperti banjir di pantai timur dan ketika pandemik Covid-19 menyerang ekonomi.

Dengan kemajuan teknologi dan peningkatan penggunaan platform-platform dalam talian seperti Facebook dan Instagram, “poverty porn” atau pornografi kemiskinan, adalah satu perkara yang seakan-seakan lumrah dalam media sosial walaupun istilah itu jarang didengar dan ramai yang tidak tahu mengenainya.

“Poverty porn” adalah satu bentuk eksploitasi ke atas golongan susah melalui pelbagai media. Ini termasuk menggunakan media sama ada dalam bentuk penulisan, foto atau video yang bertujuan untuk mengundang simpati orang ramai supaya penjualan, rating, sokongan atau dana meningkat.

Ia dikategorikan sebagai “porno” kerana menjadikan golongan rentan dan miskin sebagai objek, menggambarkan gologan itu sebagai kumpulan yang bergantung dengan mereka yang kaya untuk meneruskan hidup sementara golongan yang menolong mereka diraikan dan digelar sebagai penyelamat, kata seorang penganalisis Khazanah Research Institute, Christopher Choong.

Di Malaysia, istilah ini masih belum dikuasai dan diketahui ramai sehinggakan tiada istilah khusus dalam bahasa kebangsaan merujuk kepada femonena ini. Tetapi, kegiatannya sangat mudah dikesan di media sosial seperti Facebook dan Youtube apabila foto-foto individu dalam keadaan yang memerlukan perhatian disiar secara umum.

Fenomena ini sudah mula bertapak dan diraikan sejak beberapa tahun kebelakangan ini apabila ramai pihak menjalankan kegiatan amal menggunakan media sosial dengan video dan gambar mereka. Sebagai contoh, misi-misi bantuan yang disusuli dengan video pendek menunjukkan kedaifan dan kesukaran hidup orang lain.

Namun, di Barat, tempat asal istilah tersebut, para pengkritik berpandangan kegiatan poverty porn bukanlah untuk mendukung kemanusiaan, sebaliknya ia merendah martabat individu atau kumpulan yang susah dan tidak berupaya. Misalnya, berkongsi gambar-gambar yang menunjukkan kanak-kanak tidak cukup zat dan tidak berpakaian.

Sekeping foto seperti itu mampu mendapat jutaan likes dan komen-komen positif yang menunjukkan simpati dan belas kasihan. Namun, ia tetap tidak memberi sebarang manfaat kepada kanak-kanak yang mengalami kebuluran di seluruh dunia.

Bagaimanapun, “poverty porn” tidak terhad kepada pencipta kandungan (content creator) dan individu berpengaruh di media sosial sahaja. Kini, ahli politik turut melakukan kegiatan tersebut. Perkembangan ini menimbulkan keraguan sama ada tindakan mereka untuk meraih simpati ataupun mengharap undi pada pilihan raya?

Choong tidak menolak sebarang kemungkinan ahli politik bertindak berkongsi gambar dan video individu tidak berkemampuan demi memancing undi.

“Kita perlukan ahli-ahli politik bertanggungjawab dengan standard yang lebih tinggi iaitu dengan (mengenalpasti) apakah polisi mereka untuk menyelesaikan kemiskinan, pengangguran, ketidaksamaan dan segala bentuk rentan yang lain mengatasi pertolongan yang merea berikan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Baru-baru ini, beberapa ahli politik dilihat aktif berkongsi gambar-gambar mereka membantu golongan rentan dan memuat naik di media sosial bersama-sama coretan pendek. Ia dilihat berjaya mengundang simpati orang ramai dengan ribuan “likes” dan komen diberikan pada setiap perkongsian yang dipaparkan kepada umum.

Bukan itu sahaja, keadaan rumah orang miskin yang usang, uzur dan tidak lengkap turut dirakam ketika memberikan bantuan serta sumbangan. Malah, sama ada tindakan itu sudah mendapat keizinan turut masih menjadi persoalan.

Atas sebab itu, beliau berkata orang ramai perlu menegur dan melaporkan segala kegiatan ini apabila menyedarinya berlaku.

Bagaimanapun, kata Choong, ini tidak bermakna perkhidmatan dan bantuan jangka pendek oleh ahli-ahli politik perlu diremehkan.

“Ahli politik ketika dipilih menjadi wakil rakyat ialah mereka yang mempunyai kuasa untuk membuat perubahan di peringkat dasar,” katanya yang menganggap ia adalah matlamat utama ahli politik yang diundi untuk menganggotai Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau turut mengingatkan tokoh masyarakat dan ahli politik untuk mempertimbangkan semula tindakan mereka menguar-uarkan bantuan atau pemberian yang mereka lakukan kepada golongan susah.

“Apakah identiti orang-orang miskin (yang mereka tunjuk dalam video dan gambar) itu dilindungi, dan jika tidak, apakah bukti sahih yang mereka mendapat persetujuan daripada orang-orang yang mereka bantu itu?”

“Sudah tentu, terdapat mereka yang mungkin tidak menyedarinya dan oleh itu, poverty porn memerlukan perbincangan yang lebih meluas,” jelasnya

Bagaimanapun, akhirnya, Choong menjelaskan terdapat dua kelompok dalam kegiatan ini, mereka yang berniat baik dan mereka yang hanya mahu mengambil kesempatan sahaja.

“Tetapi, jika seseorang yang berniat baik mengetahui kesan buruk daripada poverty porn namun terus melakukannya, ia adalah satu hal yang menggusarkan bagi saya.”