- Iklan -
Berita

Mahkamah tolak rayuan Zahid gabung pertuduhan CBT

Hakim berkata tidak memadai jika Zahid sekadar mendakwa bahawa beliau dihalang daripada mendapat perbicaraan yang adil tanpa menunjukkan bukti.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama

Mahkamah Persekutuan menolak rayuan bekas timbalan perdana menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menggabungkan 12 pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) yang dihadapinya kepada hanya tiga pertuduhan dalam perbicaraan kes membabitkan dana milik Yayasan Akalbudi.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed memutuskan bahawa tidak berlaku pelanggaran Seksyen 153 (2) Kanun Tatacara Jenayah sambil menambah seksyen itu bukan peruntukan mandatori.

“Justeru kami bersetuju dengan Mahkamah Rayuan berhubung isu ini bahawa langkah menggabungkan kesemua 12 pertuduhan CBT kepada hanya tiga pertuduhan bukanlah sesuatu yang mandatori,” katanya ketika menolak rayuan Zahid.

Azahar berkata adalah tidak memadai jika Zahid sekadar mendakwa bahawa beliau dihalang daripada mendapat perbicaraan yang adil tanpa menunjukkan bukti berhubung perkara itu.

“Kami mendapati aduan bahawa pertuduhan terhadap beliau (Zahid) akan menimbulkan persepsi advers tidak mempunyai merit. Mahkamah akan memutuskan kesemua pertuduhan berdasarkan bukti yang dikemukakan,” katanya.

Beliau berkata persepsi advers bukanlah satu faktor yang diberi pertimbangan oleh mahkamah dan publisiti advers juga tidak akan menjejaskan hak Zahid untuk mendapatkan perbicaraan yang adil.

Azahar berkata peguam Hisyam Teh Poh Teik berhujah bahawa sekiranya didapati bersalah atas semua pertuduhan, Ahmad Zahid akan dihukum secara berasingan bagi 12 pertuduhan berbanding hanya tiga.

“Dalam penghakiman kami, pada peringkat ini, adalah tidak relevan untuk kami mempertimbang isu hukuman,” katanya.

Beliau berkata biasanya, hukuman bergantung kepada budi bicara mahkamah yang mendengar perbicaraan berdasarkan prinsip sedia ada selepas mengambil kira semua faktor yang relevan termasuk rayuan tertuduh dan keadaan persekitaran kes.

Azahar, yang bersidang bersama dengan dua hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Mohd Zawawi Salleh dan Hasnah Mohammed Hashim, secara sebulat suara menolak rayuan Ahmad Zahid selepas memutuskan tidak ada merit dalam rayuan itu.

Sebelum ini, Zahid gagal dalam usahanya untuk menggabungkan kesemua pertuduhan CBT terhadapnya di peringkat Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang menyebabkan beliau membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.

Zahid mengaku tidak bersalah terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya adalah CBT, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan wang berpuluh-puluh juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Pada 19 Mac lepas, pendakwaan telah menutup kesnya selepas memanggil 99 saksi.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah mengarahkan pendakwaan dan pembelaan mengemukakan hujahan bertulis masing-masing pada 28 Mei dan menetapkan 28 hingga 30 Jun serta 1 hingga 2 Julai sebagai tarikh pendengaran bagi hujahan lisan.

Terdahulu, pada prosiding hari ini, Hisyam berhujah bahawa ketidakpatuhan terhadap Seksyen 153 (2) adalah tidak adil kepada anak guamnya kerana jika beliau disabitkan dengan kesemua 12 pertuduhan CBT, Zahid akan berdepan hukuman berasingan dan tempoh pemenjaraan mungkin diarahkan dilaksanakan secara berturut-turut.

Timbalan pendakwa raya Raja Rozela Raja Toran pula menggesa mahkamah untuk menolak rayuan itu atas alasan keputusan Mahkamah Tinggi yang enggan menggabungkan kesemua pertuduhan kepada hanya tiga adalah tepat dan mempunyai asas.