- Iklan -
Berita

SPRM siasat lanjut kes pecah amanah, rasuah babit Yayasan Akalbudi

Ketua pesuruhjaya SPRM itu berkata beliau menyerahkan kepada pegawainya untuk menyiasat lanjut kes berkenaan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki. Gambar: Bernama
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki. Gambar: Bernama

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki berkata beliau menyerahkan kepada pegawai penyiasat SPRM untuk menyiasat lanjut kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi.

“Saya serahkan kepada pegawai penyiasat saya untuk menyiasat perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan di Sepang hari ini.

Pada Isnin lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar 11 alasan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar untuk menghentikan prosiding kes berkenaan.

Semalam, Jabatan Peguam Negara memaklumkan permohonan pihak pendakwaan untuk melepas tanpa membebaskan Zahid daripada semua 47 pertuduhan dibuat berdasarkan alasan dikemukakan dan diterima oleh mahkamah.

Hakim Sequerah yang membuat keputusan tersebut, menyatakan alasan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan adalah kukuh.