- Iklan -
Berita

Transparency International terkejut dengan keputusan Jabatan Peguam Negara mohon bebas Zahid

TI-Malaysia berkata kepercayaan orang ramai terhadap Jabatan Peguam Negara boleh terhakis melainkan penjelasan ‘sepenuhnya dan berterus-terang’ diberikan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi melambai ketika meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas pertuduhan rasuah terhadapnya digugurkan, pada 4 September. Gambar: Reuters
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi melambai ketika meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas pertuduhan rasuah terhadapnya digugurkan, pada 4 September. Gambar: Reuters

Transparency International Malaysia (TI-Malaysia) melahirkan rasa terkejut dengan pembebasan yang diberikan kepada Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dalam kes Yayasan Akalbudi, mengulangi gesaan agar kerajaan mengkaji semula pengasingan peranan antara peguam negara dan pendakwa raya.

TI-Malaysia berkata kini menjadi tanggungjawab Jabatan Peguam Negara untuk menjelaskan "sepenuhnya dan berterus-terang" kepada semua rakyat Malaysia mengapa pihak pendakwaan membuat keputusan ini dan bukannya membenarkan perbicaraan diteruskan sehingga penghakiman terakhir. 

"Melainkan keputusan mengejutkan ini dijelaskan dengan betul, kepercayaan rakyat terhadap kebebasan Jabatan Peguam Negara boleh terhakis," katanya sambil menyatakan Zahid juga boleh memohon pembebasan penuh dalam tempoh beberapa bulan akan datang jika tiada pertuduhan baru difailkan.

Zahid yang juga presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional (BN) berdepan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan rasuah, dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik yayasan kebajikan itu.

Beliau dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, yang dilantik bulan lepas menggantikan Raja Rozela Raja Toran yang secara tiba-tiba mengumumkan untuk "bersara awal", memaklumkan hakim Collin Lawrence Sequerah mengenai permohonan Jabatan Peguam Negara untuk memberhentikan semua prosiding terhadapnya. 

Berikutan kemarahan yang meluas terhadap keputusan itu, Jabatan Peguam berkata hakim membuat keputusan berdasarkan alasan kukuh yang dikemukakan jabatan itu kepada mahkamah. 

“Semasa membuat keputusan tersebut, hakim menyatakan bahawa alasan-alasan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan adalah kukuh," katanya dalam satu kenyataan, menjawab dakwaan yang menyifatkan keputusan itu sebagai tidak bermoral.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam pada itu berkata beliau tidak terlibat dalam keputusan tersebut, dan peguam negara mempunyai kuasa penuh untuk mengendalikan kes berkenaan.

TI-Malaysia berkata secara umumnya difahamkan peguam negara akan bertindak sebagai penasihat kepada kerajaan manakala pendakwa raya bertindak secara bebas dalam kes jenayah.

"Memiliki kedua-dua fungsi ini di bawah satu individu menimbulkan kemungkinan 'konflik kepentingan'," katanya.

“Justeru, TI-Malaysia mengulangi gesaan kepada kerajaan untuk mempertimbangkan reformasi institusi supaya dengan segera melakukan pengasingan kuasa ini.”

Dalam satu kenyataan, ia turut melahirkan kebimbangan terhadap persepsi masyarakat di dalam dan luar negara terhadap keputusan ini.

"Sekiranya ada kes rasuah berprofil tinggi yang dalam perbicaraan telah diputuskan terutamanya setelah pihak pendakwa membuktikan ia kes prima facie, maka kemungkinan besar ini akan memberi kesan negatif terhadap skor CPI bagi negara," katanya, merujuk kepada Indeks Persepsi Rasuah global.