- Iklan -
Berita

Majlis Peguam senyap dalam isu bebas Zahid

Presiden Majlis Peguam Karen Cheah Yee Lynn yang sebelum ini mempersoalkan pasukan pembelaan Najib Razak berdiam diri dalam kes Zahid.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Majlis Peguam Karen Cheah Yee Lynn. Gambar: Facebook
Presiden Majlis Peguam Karen Cheah Yee Lynn. Gambar: Facebook

Majlis Peguam yang begitu lantang dalam isu-isu melibatkan badan kehakiman pada masa lalu dilihat berdiam diri meskipun pelbagai kritikan pedas dilemparkan susulan langkah kontroversi Jabatan Peguam Negara bagi memberhentikan prosiding dalam perbicaraan rasuah terhadap Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam tempoh dua hari sejak Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara untuk melepas dan membebaskan (DNAA) Zahid, peguam seperti Ambiga Sreenevesan, Rafique Rashid, Zaid Ibrahim, Latheefa Koya dan beberapa individu lain secara terbuka mengkritik tindakan itu. 

Namun cubaan MalaysiaNow untuk mendapatkan maklum balas daripada peguam lain yang mengkritik kerajaan terdahulu dan Jabatan Peguam Negara berhubung kes berprofil tinggi juga tidak berjaya.

Sementara itu, cubaan untuk mendapatkan komen daripada Majlis Peguam tidak berjaya, dengan soalan yang dihantar dua hari lalu kepada presidennya Karen Cheah Yee Lynn masih belum dijawab.

Ia jauh berbeza berbanding reaksi Majlis Peguam terhadap cubaan untuk melengahkan perbicaraan bekas perdana menteri Najib Razak, di mana majlis itu mengkritik pasukan pembelaan berhubung pertukaran peguam pada saat-saat akhir menjelang rayuan Mahkamah Persekutuan bagi kes SRC International. 

"Pelbagai cubaan untuk menjejaskan sistem keadilan melalui strategi tidak bertanggungjawab itu adalah penyelewengan sistem keadilan kita dan penyalahgunaan proses mahkamah," kata Cheah dalam satu kenyataan pada 19 Ogos tahun lepas. 

Komen beliau mendapat reaksi negatif daripada pasukan peguam Najib, yang menuntut permohonan maaf daripada Cheah. 

Ketika berita ini ditulis, semakan di laman sesawang Majlis Peguam tidak menunjukkan sebarang kenyataan mengenai keputusan Jabatan Peguam Negara untuk memohon DNAA untuk Zahid, meskipun wujud kes prima facie bagi 47 pertuduhan terhadapnya yang mana beliau dipanggil untuk membela diri.

Kenyataan terakhir Cheah ialah gesaan untuk memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan berikutan tindakan baru-baru ini ke atas produk jam tangan jenama Swatch bertemakan LGBT, serta serbuan ke atas kedai buku. 

Cheah turut mengkritik Dr Mahathir Mohamad pada Julai selepas bekas perdana menteri itu mempersoalkan perlembagaan untuk mengisytiharkan Malaysia sebuah negara berbilang kaum, menuduhnya meniupkan api kebencian.

Pada bulan yang sama, Majlis Peguam menjemput Anwar Ibrahim untuk menyampaikan ucaptama di Persidangan Undang-undang Malaysia Antarabangsa, di mana bekas presidennya Christopher Leong memuji perdana menteri, mengatakan perdana menteri adalah inspirasi kepada rakyat Malaysia yang percaya kepada "prinsip-prinsip keadilan, kebebasan dan kesaksamaan".

Sementara itu, Anwar dalam ucapannya berkata beliau tidak akan campur tangan dalam urusan kehakiman. 

"Saya bukan sahaja tidak menceroboh walau seinci pun kawasan suci ini, tetapi saya akan pertahankan, walau apa cara sekalipun, kebebasan badan kehakiman," katanya.