- Iklan -
Berita

Junta Myanmar bebas 600 tahanan tunjuk perasaan

Mereka semua dibebaskan pada Rabu dari penjara Insein.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Wujud dalam kalangan tentera di Myanmar menyokong bantahan terhadap kudeta tentera ke atas Aung San Suu Kyi. Gambar: AFP
Wujud dalam kalangan tentera di Myanmar menyokong bantahan terhadap kudeta tentera ke atas Aung San Suu Kyi. Gambar: AFP

Tentera Myanmar membebaskan 600 tahanan dari penjara selepas kemarahan rakyat semakin memuncak apabila peserta tunjuk perasaan dileraikan secara ganas oleh pihak berkuasa.

Sejak beberapa minggu lalu, rejim Myanmar dilihat menggunakan kekerasan dalam usaha meleraikan tunjuk perasaan sehingga ramai terkorban.

Tunjuk perasaan di Myanmar tercetus bagi membantah kudeta 1 Februari yang menjatuhkan pemimpin negara itu Aung San Suu Kyi.

Pemimpin berusia 75 tahun itu akan dibicarakan pada Rabu selepas beliau menghadapi beberapa pertuduhan jenayah yang boleh menyebabkan beliau tidak lagi dibenarkan untuk berpolitik.

Dalam perkembangan terkini, peguam Suu Kyi, Khin Maung Zaw berkata pendengaran kes pemenang anugerah Nobel itu telah ditangguh hingga 1 April depan.

Keputusan itu adalah susulan siaran perbicaraan tidak dapat dijalankan selepas junta menyekat internet di Myanmar.

Sebelum ini, 600 penunjuk perasaan di Yangon ditahan kerana menyertai protes bantahan terhadap kudeta.

Mereka semua dibebaskan pada Rabu dari penjara Insein.

“360 lelaki dan 268 wanita dibebaskan dari penjara Insein hari ini,” kata pegawai kanan penjara kepada AFP.

Maung Myint yang turut berada di penjara bagi kes pendengaran dua kliennya yang lain berkata 16 buah bas yang membawa tahanan telah meninggalkan penjara itu pada 10 pagi tadi waktu tempatan.

“Mereka dihantar ke balai polis sebelum pulang ke rumah.. Ada klien yang hubungi saya maklumkan mereka sudah dibebaskan,” katanya lagi.

Media tempatan turut menyiarkan beberapa gambar tahanan di dalam bas sambil melambaikan tabik tiga jari sebagai simbol gerakan anti-kudeta.

Para aktivis turut menggesa seluruh rakyat Myanmar untuk mengadakan “Mogok Diam” pada Rabu, menyaksikan jalan raya Yangon dan Naypyidaw lengang.