- Iklan -
Berita

‘Orang dalam’ mungkin dirasuah hingga bocorkan data pengguna kepada ‘scammer’, kata pakar

“Orang dalam” sama ada daripada institusi awam atau swasta mungkin “dirasuah” sehingga menyebabkan data peribadi dibocorkan kepada pihak ketiga untuk tujuan jenayah, kata Presiden Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia, Akhbar Satar. Katanya, kebocoran data peribadi pengguna kepada pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan ramai menjadi mangsa sindiket penipuan atau scammer boleh diatasi dengan ketelusan dan […]

Fadila Awaludin
2 minit bacaan
Kongsi
Walaupun sering dilaporkan media, masih ramai individu yang terpedaya dengan panggilan palsu menyamar sebagai pihak berkuasa. Gambar: Pexels
Walaupun sering dilaporkan media, masih ramai individu yang terpedaya dengan panggilan palsu menyamar sebagai pihak berkuasa. Gambar: Pexels

“Orang dalam” sama ada daripada institusi awam atau swasta mungkin “dirasuah” sehingga menyebabkan data peribadi dibocorkan kepada pihak ketiga untuk tujuan jenayah, kata Presiden Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia, Akhbar Satar.

Katanya, kebocoran data peribadi pengguna kepada pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan ramai menjadi mangsa sindiket penipuan atau scammer boleh diatasi dengan ketelusan dan integriti kakitangan yang terlibat.

“Disebabkan rasuah dan kurangnya integriti dalam kalangan pekerja membuatkan mereka ini berani untuk menjual data peribadi pengguna kepada pihak luar,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Rasuah dan kurangnya nilai integriti pekerja dalam urusan melibatkan data peribadi pelanggan. Data ini mungkin dijual kepada pihak tidak bertanggungjawab”.

Baru-baru ini Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memberi amaran kepada orang ramai supaya berhati-hati dengan kegiatan sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai mereka selepas berjaya memperdaya lebih 18 mangsa melibatkan jumlah kerugian lebih RM600,000.

MalaysiaNow melaporkan semalam kes penipuan semakin meningkat disebabkan kerana ramai pengguna beralih kepada dalam talian disebabkan pandemik Covid-19.

Akhbar berkata scammer atau penipuan penyamaran ini kurang terjadi di negara jiran Singapura.

“Kerana mereka memiliki integriti yang tinggi serta tidak mendedahkan maklumat peribadi kepada orang luar.

“Seharusnya kita patut mencontohi dan menjauhkan diri daripada terlibat dengan kegiatan rasuah,” katanya.

Menurut Akhbar sesetengah yang menjadi mangsa berkemungkinan memiliki sejarah lampau membabitkan tunggakkan cukai dan menjadi sasaran mudah scammer dengan menggunakan taktik menakutkan mangsa dengan tindakan undang-undang jika tidak melakukan pemindahan wang.

“Kejadian jenayah seperti ini banyak dilaporkan oleh media tetapi masih ramai individu yang terpedaya dengan panggilan palsu menyamar sebagai pihak berkuasa.

“Mangsa juga bukan orang biasa tetapi ada juga yang berpendidikan tinggi dan berkerjaya profesional turut menjadi antara mangsa kes penipuan ini.”

Akhbar berkata, pengguna perlu sentiasa berhati-hati sewaktu menerima panggilan terutama apabila pemanggil memperkenalkan diri sebagai pegawai kerajaan.

“Sekiranya mendapat panggilan mengatakan anda terlibat dengan sebarang jenayah atau pembayaran cukai, cepat-cepat hentikan perbualan.

“Kemudian hubungi terus kepada pihak yang berkenaan bagi mengenal pasti sama ada anda memang ada terlibat dengan sebarang perkara seperti dinyatakan,” katanya.

Menurut Akhbar, pengguna juga perlu sentiasa peka terhadap e-mel atau kiriman mesej memaparkan pautan perbankan.

“Cuba elakkan meletak maklumat di dalam telefon seperti kata laluan bank kerana sekiranya telefon tersebut dicuri, penjenayah akan segera mengeluarkan wang dari dalam bank.

“Penjagaan data peribadi adalah penting bagi setiap individu supaya tidak disalahgunakan oleh pihak lain. Paling utama jangan mudah terpedaya apabila menerima panggilan yang memperuntukkan anda membuat pemindahan wang,” katanya.