- Iklan -
Berita

Kerugian angkara 'scammer' mampu cecah RM1.2 bilion tahun ini

Saifuddin Nasution Ismail berkata polis harus meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai jenayah itu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail. Gambar: Bernama
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail. Gambar: Bernama

Kerugian akibat kes penipuan atau “scammer” diunjurkan mampu mencecah hingga RM1.2 bilion pada hujung tahun ini jika kesedaran dalam kalangan orang awam berkaitan jenayah itu masih kurang. 

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata unjuran itu diperoleh daripada Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini semasa pembentangan kertas Majlis Sosial Negara yang antara komponen laporannya ialah berkaitan jenayah “scammer”. 

“Ini bermaksud jenayah ini semakin serius maka antara usaha polis kini juga harus bersifat mewujudkan kesedaran awam supaya tidak menghampiri atau terjebak (daripada menjadi mangsa scammer),” katanya kepada pemberita selepas Seminar Pembangunan Modal Insan dan Sahsiah Diri di sini hari ini.

Beliau turut melahirkan kekhuatiran jika trend itu semakin meningkat, jumlah kerugian akan melepasi jenayah konvensional seperti curi kenderaan. 

Saifuddin Nasution juga diminta mengulas laporan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memohon notis merah polis antarabangsa terhadap menantu Muhyiddin Yassin dan seorang lagi individu yang dipercayai melarikan diri dalam kes penyelewengan projek di sebuah kementerian.

Beliau berkata Kementerian Dalam Negeri akan melihat bentuk kerjasama yang diperlukan oleh SPRM bagi permohonan itu. 

“Saya nak sebut ini dahulu, setakat kenyataan yang diberikan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, ia kekal begitu dulu, saya tak mahu menceroboh dalam bidang kuasa dia,” katanya.