- Iklan -
Berita

Hamzah pulih Covid-19, dibenarkan pulang

Setiausaha akhbar beliau, Zulkifli Bujang mengesahkan perkara itu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin. Gambar: Bernama
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin. Gambar: Bernama

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin dibenarkan keluar dari hospital pada Ahad lepas setelah disahkan pulih sepenuhnya daripada Covid-19.

Setiausaha Akhbar beliau, Zulkifli Bujang yang mengesahkan perkara itu kepada Bernama berkata Hamzah juga berada dalam keadaan baik.

Hamzah disahkan positif Covid-19 pada 12 Januari lalu dan menjalani rawatan serta kuarantin di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Sementara itu, Hamzah dalam kenyataannya melahirkan penghargaan kepada doktor, jururawat serta barisan petugas hadapan yang memberikan perkhidmatan cemerlang dan layanan mesra tidak mengira penat lelah sepanjang tempoh rawatannya.

“Kepada semua pihak yang bertanya khabar, memberikan kata semangat dan mendoakan kesihatan saya, terima kasih saya ucapkan. Keprihatinan anda semua memberikan kekuatan kepada saya untuk terus melawan virus Covid-19,” katanya.

Beliau turut menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk terus mematuhi SOP ditetapkan oleh kementerian kesihatan serta memberikan kerjasama penuh kepada barisan petugas hadapan dan kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian penularan pandemik Covid-19.

“Saya berdoa ke hadrat Allah SWT agar kita semua diberikan nikmat kesihatan dan sentiasa mendapat perlindungan daripada-Nya,” katanya.