- Iklan -
Berita

Kerajaan sepatutnya tolak kemasukan The 1975, kata Hamzah

Bekas menteri dalam negeri itu turut menyelar kerajaan apabila tiada tindakan diambil terhadap kumpulan rock Britain itu.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin. Gambar: Bernama
Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin. Gambar: Bernama

Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin berkata kerajaan tidak sepatutnya membenarkan kumpulan rock Britain, The 1975 masuk ke dalam negara untuk membuat persembahan berikutan reputasinya yang menyokong gerakan LGBT.

Bekas menteri dalam negeri itu berkata, kumpulan-kumpulan seperti The 1975 tidak dibenarkan masuk ke Malaysia sewaktu beliau menjadi menteri.

"Hari ini bila dah masuk buat kelakuan bukan-bukan barulah nak beritahu konon ada macam-macam syarat.

"Syarat apa? Engkau dah tahu kumpulan ini akan menghancurkan masa depan rakyat Malaysia.

“Sepatutnya tidak terima (kemasukan)," katanya dalam satu ceramah di Tanjung Karang, Selangor malam tadi.

Kumpulan rock itu mencetuskan kontroversi selepas vokalisnya, Matt Healy bertindak kurang sopan dan mengutuk undang-undang anti-LGBT di Malaysia.

Beliau turut melakukan aksi luar tabii apabila mengucup pemain gitar kumpulan itu yang juga lelaki dalam satu konsert Festival Good Vibes di Sepang pada Jumaat lepas.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengarahkan konsert itu dibatalkan serta-merta meskipun masih berbaki dua hari. 

Kumpulan berkenaan turut membatalkan konsert di Indonesia dan Taiwan selepas kontroversi berkenaan.

Penganjur Festival Good Vibes dilaporkan membuat rayuan pada Julai lepas selepas Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) menolak penyertaan The 1975.

Namun penganjur menjamin kumpulan itu akan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.

Hamzah yang juga ahli Parlimen Larut berkata, kerajaan mengamalkan sikap pilih kasih kerana tidak mengambil tindakan terhadap kumpulan itu.

"Sanusi baru salah sikit, pukul tiga pagi dah tangkap. Kumpulan ini melanggar undang-undang negara, tak tangkap pun.

"Inilah kerajaan double standard (pilih kasih),” kata Hamzah merujuk kepada Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa di mahkamah baru-baru ini selepas dikatakan membuat kenyataan yang menyentuh 3R (agama, kaum dan raja).

Menurut polis, kumpulan The 1975 meninggalkan negara selepas konsert mereka dibatalkan.

The 1975 kini disenarai hitam daripada mengadakan persembahan di Malaysia.