- Iklan -
Berita

Cadangan pindaan babit isu kewarganegaraan dibentang ke Majlis Raja-raja Julai ini

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata perkara itu dilakukan secara komprehensif dengan mengandungi sekurang-kurangnya lapan cadangan pindaan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Persidangan Dewan Rakyat, 13 Februari. Gambar: Bernama
Persidangan Dewan Rakyat, 13 Februari. Gambar: Bernama

Cadangan pindaan Bahagian 3 Perlembagaan Persekutuan membabitkan isu kewarganegaraan akan dibentangkan ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 12 Julai ini.

Menterinya Saifuddin Nasution Ismail berkata cadangan pindaan itu dilakukan secara komprehensif dengan mengandungi sekurang-kurangnya lapan cadangan pindaan termasuk berkenaan soal anak yang dilahirkan oleh ibu warganegara di luar negara dengan pasangan bukan warganegara.

"Jika semuanya berjalan mengikut tertib dan (mendapat) perkenan Ke bawah Duli Raja-Raja, maka kita akan bentangkan perkara ini pada persidangan (Dewan Rakyat) hujung tahun ini.

Ini akan menjawab sebahagian besar isu-isu warganegara yang dibangkitkan,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan usul Laporan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di Parlimen hari ini.

Katanya Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini sedang mempersiapkan cadangan berkenaan dan sesi libat urus sudah berada di peringkat akhir dalam usaha menangani isu-isu berkaitan kewarganegaraan secara menyeluruh. 

Sementara itu berkenaan isu pelarian di negara ini, Saifuddin berkata kerajaan bercadang untuk mewujudkan satu pangkalan data sendiri bagi mengetahui maklumat lengkap seperti jumlah, keberadaan, umur, dan maklumat lengkap peribadi seseorang pelarian.

Katanya KDN akan diberikan tanggungjawab untuk melakukan proses kutipan data pelarian itu dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), manakala untuk pelarian di Sabah, Jabatan Ketua Menteri akan bertanggungjawab untuk berbuat demikian.  

“Mengikut data UNHCR terdapat seramai 185,000 pelarian di negara kita ketika ini. Sebelum ini kita pernah ada inisiatif (mengutip data pelarian) yang dibuat melalui pihak swasta dengan kebenaran KDN, namun mereka hanya berupaya mengenal pasti seramai 30,000 orang sahaja dan itu tidak membayangkan keadaan sebenar,” katanya.

Sehubungan itu, katanya beliau telah menemui Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian bagi membolehkan perkongsian data dibuat dan sebaik pertubuhan itu bersetuju dengan hasil perbincangan untuk berkongsi data nanti, KDN akan lakukan tapisan untuk menjaga keselamatan negara.

Katanya polisi kerajaan ketika ini adalah untuk memudahkan pelarian meneruskan hidup (sebelum dipindahkan ke negara ketiga), dengan memudahkan mereka mendapat pekerjaan, pendidikan dan kesihatan, tapi ia tidak boleh dimulakan tanpa kerajaan memiliki pangkalan data pelarian yang jelas.  

Menyentuh soal kedudukan Malaysia bagi Laporan Aktiviti Pemerdagangan Manusia 2023, beliau berkata perkara itu akan diumumkan oleh Amerika Syarikat malam esok, dan pihaknya juga akan mengadakan pertemuan bersama wakil kedutaan Amerika Syarikat untuk menerima laporan berkenaan.

Berhubung isu ketenteraman awam melibatkan 3R (agama, bangsa dan institusi Raja) pula, Saifuddin berkata isu itu boleh diredakan sekiranya medan politik tidak dijadikan pentas dalam membezakan akidah antara individu.

"Lebih baik kita kurangkan atau jauhkan politik sebegini, kita bertarung dari segi idea dan polisi yang kemudiannya kita biarkan kebijaksanaan rakyat untuk membuat pemilihan. Hal ini sebenarnya kita boleh hentikan bersama," katanya. 

Terdahulu, Dewan Rakyat tertangguh kira-kira 15 minit semasa sesi penggulungan itu yang menyaksikan ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang bertikam lidah mengenai isu 3R.