- Iklan -
Berita

Permintaan hartanah di bandar luar KL meningkat pada 2020

Menurut iProperty.com.my 2020 Property Demand Analytics, bandar seperti Shah Alam dan Seremban merekodkan permintaan positif.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Kawasan pinggir bandar Selangor mendapat manfaat daripada perpindahan keluar populasi ekoran pandemik Covid-19.
Kawasan pinggir bandar Selangor mendapat manfaat daripada perpindahan keluar populasi ekoran pandemik Covid-19.

Permintaan untuk hartanah terpakai pada 2020 adalah lebih baik bagi bandar-bandar di luar Kuala Lumpur, menurut sorotan permintaan hartanah subsale iProperty.com.my

Menurut iProperty.com.my 2020 Property Demand Analytics, bandar seperti Shah Alam dan Seremban merekodkan permintaan positif, masing-masing pada +1.7% dan +0.9%, sementara permintaan terhadap Pusat Bandaraya KL (KLCC) menguncup sebanyak -8.9% dengan penurunan pertumbuhan modal sebanyak -11%.

“Permintaan terhadap hartanah di Kuala Lumpur jatuh sebanyak -1.3% dengan penurunan angka kunjungan pengguna bagi apartmen dan rumah pangsa. Ini disebabkan antara kumpulan paling teruk terjejas akibat pandemik Covid-19 adalah B40,” kata Pengurus Besar Penyelesaian Data Pengguna REA Group Asia Premendran Pathmanathan dalam satu pembentangan hari ini.

Beliau menambah kawasan pinggir bandar Selangor mendapat manfaat daripada perpindahan keluar populasi ekoran pandemik Covid-19.

Mengenai permintaan yang lebih tinggi unit rumah terpakai di luar Kuala Lumpur, beliau mengatakan beberapa faktor mendorong kepada peningkatan perpindahan keluar populasi dan trend baru bekerja dari rumah.

Ia menyaksikan orang berpindah ke kawasan perumahan mampu milik di pinggir-pinggir bandar di Selangor dan negeri-negeri lain, menyebabkan pasaran hartanah Kuala Lumpur suram.

“Kawasan kediaman pinggir bandar menawarkan rumah lebih besar dengan lebih nilai untuk wang pembeli dan menyaksikan pertumbuhan permintaan yang begitu pesat,” katanya, dan menyenaraikan daerah seperti Puncak Alam, Dengkil dan Semenyih.

Selangor menjadi satu-satunya negeri utama yang mencatat permintaan positif hartanah terpakai sejak bermulanya pandemik, dengan Serendah merekodkan pertumbuhan permintaan tertinggi pada 2020 kerana kebanyakan minat tertumpu pada apartmen dan rumah pangsa berharga kurang daripada RM100,000 bersaiz kurang daripada 750 kaki persegi.

Sementara itu, bandar-bandar seperti Kepala Batas dan Balik Pulau di Pulau Pinang dan Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri dan Kluang di Johor juga turut menarik minat pembeli, yang menyumbang kepada keseluruhan trend permintaan hartanah pada tahun 2020.

Premendran mengatakan penurunan permintaan hartanah di Kuala Lumpur sudah dijangka, apabila perintah kawalan pergerakan dilaksanakan.

“Pandemik Covid-19 mengubah cara orang hidup dan bekerja, dan 2021 bakal menjadi tahun mencabar kerana pasaran hartanah banyak bergantung pada ekonomi sesebuah negara,” katanya, dan menambah pasaran hartanah akan pulih selepas vaksin Covid-19 diperkenalkan.

Beliau juga menyentuh usaha kerajaan seperti pengecualian duti setem pasaran sekunder di bawah Belanjawan 2021, pengurangan secara beransur-ansur Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan pengurangan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang katanya diharap dapat mencetuskan minat pembeli untuk membeli hartanah terutamanya dalam kalangan kelas pertengahan dan atasan.