- Iklan -
Berita

Malaysia akan penuhi kewajipan di bawah perjanjian HSR, kata menteri

Kedua-dua negara akan mengambil tindakan sewajarnya dalam menentukan jumlah pampasan bagi projek tersebut.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed. Gambar: Bernama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed. Gambar: Bernama

Malaysia akan memenuhi kewajipannya di bawah Perjanjian Dua Hala Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang luput semalam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed.

Beliau berkata susulan itu, kedua-dua negara akan mengambil tindakan sewajarnya dalam menentukan jumlah pampasan bagi projek tersebut.

“Malaysia dan Singapura menikmati hubungan dua hala yang sangat erat. Kami akan terus mengukuhkan hubungan ini termasuk meningkatkan kesalinghubungan antara kedua-dua negara demi kepentingan bersama.

“Melangkah ke hadapan, kerajaan akan melakukan kajian terperinci bagi meneroka semua pilihan yang ada termasuk daya maju projek HSR domestik dan manfaatnya kepada rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan rakan sejawatnya dari Singapura Lee Hsien Loong dalam kenyataan bersama hari ini mengumumkan bahawa projek HSR ditamatkan apabila kedua-dua negara gagal mencapai kata sepakat berhubung perubahan yang dicadangkan Malaysia sebelum perjanjian projek itu berakhir pada 31 Disember 2020.

Kerajaan Malaysia mencadangkan beberapa perubahan terhadap projek HSR itu termasuk dari segi struktur, penjajaran dan reka bentuk stesennya susulan kesan pandemik Covid-19 ke atas ekonomi negara dengan mengadakan beberapa perbincangan mengenai kedudukan masing-masing.

Bagaimanapun, kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat berhubung perubahan itu dan oleh yang demikian, Perjanjian Dua Hala membabitkan projek tersebut luput seperti dijadualkan.