- Iklan -
Berita

Belanjawan kementerian Wilayah lulus mudah selepas pembangkang tinggalkan Dewan Rakyat

110 setuju, 7 tidak setuju, 31 tidak mengundi manakala 72 tidak hadir di Dewan Rakyat.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Dewan Rakyat meluluskan RUU Perbekalan bagi Kementerian Wilayah Persekutuan dengan undi belah bahagi. Gambar: Bernama
Dewan Rakyat meluluskan RUU Perbekalan bagi Kementerian Wilayah Persekutuan dengan undi belah bahagi. Gambar: Bernama

Belanjawan Kementerian Wilayah Persekutuan lulus dengan mudah selepas ahli-ahli Parlimen pembangkang meninggalkan Dewan Rakyat kerana Speaker Azhar Azizan Harun membenarkan tiga ahli Parlimen yang dikenakan perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) hadir mengundi.

Azhar mengumumkan undi peringkat jawatankuasa Belanjawan 2021 bagi Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) diluluskan secara undian belah bahagi dengan 110 setuju, 7 tidak setuju, 31 tidak mengundi manakala 72 tidak hadir di Dewan Rakyat hari ini.

KWP di bawah kendalian Annuar Musa menerima peruntukan sebanyak RM957 juta.

Ia merupakan undi belah bahagi yang kesembilan bagi peringkat jawatankuasa Belanjawan 2021 setakat ini.

Terdahulu ketika menggulung, Annuar sempat menyindir Teresa Kok (DAP-Seputeh) yang terus mempersoalkan hak orang yang tinggal di Kuala Lumpur.

“Saya nak bagi keutamaan kepada satu isu yang penting yang dibangkitkan oleh Seputeh, walaupun gilirannya agak kebelakang tapi saya jawab mendahulukan kerana saya tau Seputeh sangat penting dan begitu sekali berminat.

“Pertama saya nak mengingatkan Seputeh, Kuala Lumpur ini bukan orang Kuala Lumpur sahaja. Di sini ada orang Kelantan, Terengganu, Johor dan daripada seluruh Malaysia. Jadi nasihat saya kepada YB supaya jika nak terus jadi wakil rakyat, jangan buat orang-orang lain kecil hati kerana Wilayah Persekutuan ini milik nasional bukan milik orang Kuala Lumpur sahaja. Itu nasihat saya yang pertama,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini Annuar menegur tindakan Kok yang mempersoalkan tindakan beliau memberikan kebenaran kepada warga kota untuk membuka gerai secara bebas, mulai 15 November lalu.

Menurut ahli Parlimen Ketereh itu, beliau tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan kononnya mahu menjadikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur seolah-olah seperti kawasan parlimennya di Kelantan susulan membenarkan peniaga bebas berniaga di mana-mana kawasan yang sesuai di sekitar bandar raya itu.

Jelas Annuar konsep “wilayah bebas berniaga” tidak bermaksud membelakangkan peruntukan undang-undang sedia ada.