- Iklan -
Berita

Umno mahu kerajaan PN Perak dikekalkan

Bersatu dan PAS harus bersama mendokong kerajaan PN negeri Perak.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas menteri besar Perak Ahmad Faizal Azumu. Gambar: Bernama
Bekas menteri besar Perak Ahmad Faizal Azumu. Gambar: Bernama

Umno berpendirian kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perak haruslah dikekalkan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) menyingkirkan bekas menteri besar daripada Bersatu, Ahmad Faizal Azumu hari ini, kata setiausaha agungnya, Ahmad Maslan.

Ahmad berkata, walaupun menteri besar Perak akan ditukar selepas Faizal hilang sokongan, semua barisan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebelum ini mesti terus memegang jawatan.

“Umno juga berpendirian Bersatu dan PAS harus bersama mendokong kerajaan PN negeri Perak.

“Undi percaya yang berlaku pada hari ini hanya melibatkan jawatan menteri besar Perak sahaja tanpa mengubah status kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Kenyataan Ahmad yang juga ahli Parlimen Pontian itu memadamkan spekulasi Umno bakal menubuhkan kerajaan baru di Perak bersama parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH).

PAS hari ini berkata tidak akan bersama-sama sebarang usaha untuk menubuhkan kerajaan baru di Perak dan akan kekal bersama PN.