- Iklan -
Berita

PAS tak akan sertai kerajaan Umno bersama PKR, Amanah di Perak

Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS nyatakan sokongan kepada bekas menteri besar Ahmad Faizal Azumu.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bangunan pejabat Parti PAS di Kuala Lumpur.
Bangunan pejabat Parti PAS di Kuala Lumpur.

PAS mengumumkan tidak akan menyertai sebarang usaha menubuhkan kerajaan baru di Perak di luar Perikatan Nasional (PN) selepas bekas menteri besar Ahmad Faizal Azumu dikalahkan dalam usul undi percaya di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pagi ini.

PAS berkata, ketiga-tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) parti itu di Perak menyatakan sokongan terhadap Faizal yang juga Adun Chenderiang seperti diputuskan biro politiknya.

“Maka selaras dengan keputusan tersebut, PAS Pusat membuat ketetapan untuk tidak menyertai usaha pembentukan kerajaan negeri Perak yang baru,” kata Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan hari ini.

“Meskipun demikian, PAS akan terus berperanan sebagaimana biasa dalam masyarakat di peringkat negeri mahupun nasional.”

The Star melaporkan hari ini pemimpin Umno Mohamed Nazri Aziz mencadangkan parti Melayu itu bekerjasama dengan PKR dan Amanah dalam gabungan baru untuk menubuhkan kerajaan di Perak.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, Umno mempunyai 25 Adun, PKR tiga dan Amanah lima menjadikan gabungan baru itu mempunyai 33 kerusi daripada 59 kerusi DUN Perak.

Nazri bagaimanapun berkata, pembentukan kerajaan baru di Perak itu tidak melibatkan DAP yang mempunyai 16 kerusi DUN.