- Iklan -
Berita

RM216.7 juta bagi 15 projek pembangunan di luar bandar Sabah dan Sarawak, kata menteri

40% daripada jumlah keseluruhan peruntukan sudah dibelanjakan untuk kemudahan air, elektrik.

Fazreen Kamal
1 minit bacaan
Kongsi
Sebanyak RM235 juta disalurkan untuk 63 projek bekalan air luar bandar. Gambar: Bernama
Sebanyak RM235 juta disalurkan untuk 63 projek bekalan air luar bandar. Gambar: Bernama

Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan RM216.7 juta bagi 15 projek menyediakan kemudahan bekalan air dan elektrik luar bandar (BAELB) di Sabah pada 2020.

Menterinya, Abdul Latiff Ahmad berkata RM88.8 juta sudah dibelanjakan sehingga Oktober 2020 atau kira-kira 40% daripada jumlah keseluruhan peruntukan berkenaan.

“Bagi bekalan air luar bandar jumlah peruntukan disalurkan ialah RM235 juta membabitkan 63 projek dengan wang dibelanjakan berjumlah RM71.8 juta iaitu jauh daripada sasaran sebenar,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Yamani Hafez Musa (Bersatu-Sipitang) yang meminta menteri pembangunan luar bandar menyatakan jumlah peruntukan yang disediakan bagi kemudahan bekalan air dan elektrik luar bandar di Sabah tahun ini.

Menurut Latiff, KPLB akan melaksanakan projek pembangunan luar bandar di Sabah dan Sarawak berdasarkan perubahan dan pertambahan penduduk dari semasa ke semasa.

“Dengan adanya kerajaan negeri Sabah di bawah pimpinan Perikatan Nasional (PN), begitu juga Kerajaan Persekutuan maka projek pembangunan lebih mudah dilaksanakan dan direalisasikan.

“Malah, dalam Belanjawan 2021 kerajaan menyalurkan peruntukan khusus untuk negeri Sabah dan Sarawak, selain menerusi KPLB.”