- Iklan -
Berita

NTIS tingkatkan pendapatan peneroka Felda generasi baru

Felda Mempaga di Bentong, Pahang diperuntukkan sebagai projek perintis pelaksanaan bagi kemudahan dron dan robotik.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Projek Sandbox Inovasi dan Teknologi (NTIS) yang dilaksanakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bakal meningkatkan purata pendapatan peneroka Felda. Gambar: Bernama
Projek Sandbox Inovasi dan Teknologi (NTIS) yang dilaksanakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bakal meningkatkan purata pendapatan peneroka Felda. Gambar: Bernama

Projek Sandbox Inovasi dan Teknologi (NTIS) yang dilaksanakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bakal meningkatkan purata pendapatan peneroka Felda dan mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi bernilai tinggi serta pekerjaan terutama bagi generasi peneroka baru, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Ahmad Amzad Mohamed.

Katanya, projek itu dibangunkan bersama Pusat Inovasi & Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) yang juga bertindak selaku sekretariat utama dan Felda serta Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) sebagai rakan pembiayaan utama.

Beliau berkata, Felda Mempaga di Bentong, Pahang diperuntukkan sebagai projek perintis pelaksanaan bagi kemudahan dron dan robotik yang sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban peneroka khsususnya buat generasi baru.

“Lima teknologi yang dikenal pasti membawa pelbagai aplikasi dan inovasi bagi meningkatkan pendapatan peneroka Felda. Antaranya aplikasi seperti dron, robotik, mesin kecerdasan buatan (AI), teknologi rawatan air, teknologi IOT untuk pertanian. Semua ini telah dicadangkan kepada pengurusan Felda untuk dipilih berdasarkan kesesuaian dan infrastruktur Felda.

“Teknologi-teknologi berikut dicadangkan pada program NTIS di Mempaga. Pertama, sistem robotik di tapak semaian sawit, kedua sistem robotik di ladang sawit, robot penyemburan racun dan ladang vertigasi dan keempat penggunaan dron dan analisis big data untuk mengoptimumkan sawit.

“Pihak Felda sedang meneliti kesesuaian teknologi cadangan untuk ujian lapangan di Felda Mempaga sebelum penggunaan secara besar-besaran sekiranya berkesan di tanah-tanah lain,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan, Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) tentang peranan kementerian dalam membantu Felda bagi memastikan inisiatif pertanian pintar di agensi tersebut dapat dilaksanakan.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Mahdzir mengenai syarat-syarat yang dilaksanakan kerajaan dalam memilih syarikat, Ahmad berkata pihaknya mengesahkan lima syarikat terpilih menyertai Projek NTIS itu yang mempunyai kepakaran dan kriteria yang sesuai dalam membantu meningkat sumber ekonomi peneroka Felda.

Menurut beliau, ini selaras dengan tujuan projek ini dilaksanakan bagi meningkatkan aktiviti produktiviti Felda sekaligus meningkatkan pendapatan peneroka di samping mampu menilai daya maju teknikal serta kepatuhan piawaian dan peraturan sedia ada serta menyediakan produk bagi tujuan komersial.

“Sebanyak lima syarikat dipilih jalani ujian dron dan robotik bagi mendapatkan kerjasama NTIS ini. Antaranya kriteria pemilihan seperti mengikut kesesuaian produk dan keserasian penyelesaian solusi berdasarkan penyataan masalah yang dikongsikan oleh Felda.

“Kedua, tahap kecanggihan inoviasi teknologi berkaitan pertanian inovasi dan syarikat itu mereka adalah pemegang sebenar bagi harta intelek yang dicadangkan dan terakhir mempunyai latar rekod prestasi yang memberangsangkan dan kewibawaan teknologi berkenaan. Bagi memenuhi syarat kelayakan mesti warganegara Malaysia dan syarikatnya berdaftar serta berpangkalan di Malaysia.”