- Iklan -
Berita

Agrobank lulus pembiayaan RM1.3 bilion bantu lebih 39,000 usahawan mikro pertanian

Skim menawarkan kemudahan pembiayaan tanpa cagaran dengan kadar faedah yang rendah iaitu 3.5%.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Agrobank menawarkan pelbagai kemudahan bantuan kewangan kepada usahawan dalam aktiviti pertanian dan pengeluaran makanan. Gambar: Facebook
Agrobank menawarkan pelbagai kemudahan bantuan kewangan kepada usahawan dalam aktiviti pertanian dan pengeluaran makanan. Gambar: Facebook

Agrobank meluluskan pembiayaan RM1.3 bilion kepada 39,130 pengusaha mikro sehingga 30 Oktober tahun ini sebagai langkah pro aktif membantu usahawan mikro dalam sektor pertanian dan industri makanan, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee.

Katanya, Agrobank menawarkan pelbagai kemudahan bantuan kewangan kepada usahawan dalam aktiviti pertanian dan pengeluaran makanan dalam mengharungi cabaran ekonomi pasca Covid-19.

“Pertamanya, Skim Pembiayaan Mikro Kredit di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi (Penjana). Skim ini menawarkan kemudahan pembiayaan tanpa cagaran dengan kadar faedah yang rendah iaitu sebanyak 3.5%.

“Had pembiayaan adalah minimum RM1,000 dan maksimum RM50,000 bagi setiap individu dan tempoh pembiayaan adalah sehingga lima tahun atau 60 bulan. Malah, sehingga 22 November 2020, Agrobank telah meluluskan lebih 8,000 permohonan dengan jumlah pembiayaan keseluruhan bernilai RM73 juta,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bersatu-Bukit Gantang) tentang sejauh manakah Agrobank memainkan peranan dalam pembiayaan mikro kredit bagi membantu usahawan mikro yang mengusahakan aktiviti perniagaan berasaskan pertanian dan industri makanan.

Syed Abu Hussin juga meminta kementerian pertanian dan industri makanan (Mafi) menyatakan apakah kemudahan kewangan yang disediakan Agrobank untuk sektor pertanian dalam mengharungi cabaran ekonomi pasca Covid-19.

Mengulas lanjut, Ronald berkata Agrobank juga menyediakan program “Agrobank Microenterprises Special Relief” di mana pihak bank akan membiayai enam bulan ansuran awal untuk akaun sedia ada atau akaun baru dan pelanggan tidak perlu membayar enam bulan pertama skim pembiayaan.

Sehubungan itu, tempoh enam bulan terbabit membolehkan usahawan mikro memberi tumpuan sepenuhnya dalam memulihkan kembali aliran tunai pendapatan bagi enam bulan akan datang.

“Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2020, Agrobank telah meluluskan lebih 4,600 permohonan di bawah dana-dana sedia ada dengan jumlah pembiayaan keseluruhan bernilai RM203 juta.

“Ketiga, Agrobank juga menyediakan kemudahan pembiayaan khusus kepada usahawan muda melalui Program Agropreneur Muda. Skim pembiayaan di bawah program ini menyediakan pinjaman maksimum sehingga RM200,000 bagi projek pertanian.”