- Iklan -
Berita

SPRM tahan 47 pengarah syarikat kemuka tuntutan palsu

Kesemua pengarah syarikat itu ditahan menerusi Op Hire 2.0 yang dilaksanakan di seluruh negara.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Logo Suruhanjaya Pencegaahan Rasuah Malaysia di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, 1 Mac 2022.
Logo Suruhanjaya Pencegaahan Rasuah Malaysia di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, 1 Mac 2022.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 47 pengarah syarikat kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu bagi program insentif pengambilan pekerja dan program latihan (Penjana) dalam Op Hire 2.0 yang digerakkan sejak petang semalam.

Sumber SPRM berkata kesemua yang ditahan menerusi Op Hire 2.0 yang dilaksanakan di seluruh negara itu berumur antara 30 dan 70 tahun, melibatkan 14 wanita dan 33 lelaki.

Op Hire 2.0 adalah operasi bagi mengekang penyelewengan dan ketirisan dana kerajaan hasil tuntutan palsu yang dibuat oleh pengarah syarikat menerusi PENJANA. Ia adalah lanjutan daripada pelaksanaan Op Hire 1.0 pada 2022 yang diadakan dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan SPRM.

“Pengarah syarikat (berkenaan) telah mengemukakan tuntutan yang kononnya telah mengendalikan program pengambilan dan latihan pekerja kepada Perkeso. Namun ia tidak dilaksanakan sebagaimana tuntutan," kata sumber itu.

Sumber itu berkata jumlah tuntutan yang dikemukakan pengarah syarikat itu adalah antara RM450,000 dan RM2 juta. 

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi hari ini mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

“Tindakan tegas SPRM ini adalah bagi mengekang penyelewengan dan ketirisan dana kerajaan yang dilihat sebagai isu yang serius," katanya.

Khusairi berkata SPRM mengenal pasti ratusan syarikat lain yang telah membuat tuntutan palsu dan akan meneruskan operasi bagi menahan semua yang terlibat.

Beliau turut menggesa mana-mana syarikat yang terlibat untuk tampil secara sukarela menyerahkan semula tuntutan yang telah dibuat bagi mengelakkan pertuduhan di mahkamah. 

"Kita telah kenal pasti nama dan senarai pemilik syarikat yang terlibat. Bagi tujuan mendapatkan semula kesemua tuntutan palsu terbabit, saya memberi amaran kepada semua untuk tampil segera sebelum SPRM mengetuk pintu pejabat syarikat-syarikat terlibat," katanya. 

Khusairi memberi jaminan individu yang terlibat serta tampil secara sukarela dan menyerahkan semula tuntutan yang telah dibuat tidak akan didakwa di mahkamah.

"Bagi mereka yang masih berdegil maka mereka akan dikenakan tindakan yang lebih serius," katanya.

Menerusi Op Hire 1.0, seramai 74 individu daripada 60 syarikat telah ditahan melibatkan tuntutan palsu bernilai RM88 juta. Seramai 52 individu telah didakwa di mahkamah.