- Iklan -
Berita

PH tak sokong Belanjawan 2021 kecuali tuntutan dipenuhi, kata Anwar

Hanya 6 tuntutan PH dimasukkan dalam Belanjawan 2021.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama

Meskipun ahli-ahli Parlimen sudah berikrar taat setia kepada titah Yang di Pertuan Agong dan akan menyokong dan meluluskan Belanjawan 2021, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim memberi amaran kepada kerajaan ia tidak akan diluluskan dengan mudah.

Anwar menegaskan PH tidak akan menyokong usul meluluskan Belanjawan 2021 kecuali kerajaan dan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz melakukan pindaan terhadapnya dengan memasukkan beberapa tuntutan yang dibuat pembangkang sebelum ini.

Sehubungan itu ahli Parlimen Port Dickson itu menegaskan beliau tidak mahu kerajaan sekarang, menteri kewangan dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin membuat andaian Belanjawan 2021 akan diluluskan dengan cara mudah tanpa membuat pindaan yang memenuhi tuntutan PH.

Sebelum ini, PH ada membuat beberapa tuntutan namun hanya enam dimasukkan dan disentuh secara sepintas lalu oleh Zafrul dalam pembentangan Belanjawan 2021, pada Jumaat lalu termasuk isu moratorium dan pengeluaran akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Sama ada kita nak luluskan atau tidak belanjawan ini kita akan pastikan ada rencana atau perubahan dilakukan supaya ia tidak membebankan rakyat khususnya pegawai kerajaan dan penjawat awam dan petugas barisan hadapan.

“Saya ingin tekankan di sini kami tidak mahu andaian mudah. Keadaan sekarang berbeza kerajaan, menteri kewangan dan perdana menteri kena tahu belum ada penentuan dan kepastian sama ada belanjawan dalam bentuk sekarang jika tidak diubah dan dipinda untuk membela nasib rakyat yang kita yakini seperti mana kita tuntut belum pasti ia akan diluluskan dengan mudah.

“Jadi saya menyeru dan menggesa dengan tegas supaya menteri kewangan meneliti semula usaha menangani Covid-19 dari segi belanjawan kesihatan dan lonjakan ekonomi terbabit,” katanya ketika membahaskan usul Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar sebelum itu berkata pihak pembangkang menjunjung kasih titah Sultan Abdullah Ahmad Shah menolak permohonan kerajaan untuk mengisytiharkan darurat.

“Sama ada kita nak luluskan atau tidak belanjawan ini kita akan pastikan ada rencana atau perubahan dilakukan supaya ia tidak membebankan rakyat khususnya pegawai kerajaan dan penjawat awam dan petugas barisan hadapan.

“Kenyataan YDPA dan Raja-raja Melayu agak tegas bukan sahaja menolak darurat tetapi menolak langkah yang boleh menjurus ke arah penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

“Saya berharap bukan hanya ahli yang berhormat tetapi semuanya perlu meneliti kenyataan itu. YDPA buat julung kalinya menolak usul PM untuk mengadakan darurat.

“Di bangkitkan juga titah Tuanku supaya mengajak semua ahli Parlimen supaya memberikan kerjasama untuk meluluskan belanjawan. Ini adalah semangat muafakat dan rundingan sebab itulah rakan PH dan parti lain mengemukakan pandangan mereka.

“Daripada PH enam tuntutan didengar oleh menteri kewangan tetapi tidak di ulas sama sekali dalam belanjawan. Ada pandangan lain khususnya mengenai moratarium dan pengeluaran akaun 1 KWSP disentuh secara sepintas lalu tetapi tidak memenuhi maksud tuntutan dibuat.

“Walaupun kita cenderung meluluskan, kita tidak mahu bertolak ansur soal enrolumen gaji pekerja, nasib pekerja barisan hadapan tidak berbangkit, kita akan pastikan ada rencana segera tidak membebankan rakyat.”