- Iklan -
Berita

MB Selangor doakan dua Adun segera sembuh Covid-19

Kedua-dua Adun disahkan positif Covid-19 selepas pulang berkempen bagi Pilihan Raya Negeri Sabah.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari. Gambar: Bernama
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari. Gambar: Bernama

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari mendoakan kesembuhan segera ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Tunku Lim Yi Wei dan Kota Damansara Shatiri Mansor yang disahkan positif Covid-19, semalam.

“Saya mendoakan kedua-dua sahabat saya ini diberi kesembuhan dan kesihatan seperti sedia kala. Semoga mereka dan keluarga diberi kekuatan bagi mengharungi ujian berkenaan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Amirudin berkata segala urusan rasmi melibatkan kedua-dua Adun berkenaan akan diselaras dan dipermudahkan pejabat masing-masing dan pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) terlibat.

Semalam, Lim mengesahkan dirinya positif Covid-19 menerusi hantaran di laman Facebooknya manakala Shatiri memaklumkan mengenai status dirinya menerusi video berdurasi 3.28 minit di laman sesawangnya.

Menurut Lim, beliau menjalani ujian saringan pertama di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (klia2) sejurus pulang dari Sabah pada 27 Oktober leps dan menjalani kuarantin kendiri di rumah selepas dipakaikan gelang merah jambu.

Katanya, keputusan ujian saringan pertama terhadapnya pada 30 September lepas, didapati negatif namun dirinya menunjukkan gejala pada hari berkenaan menyebabkan beliau melakukan ujian kali kedua pada 2 Oktober dan menyambung kuarantin secara kendiri sehingga disahkan positif Covid-19, semalam.

Shatiri pula memaklumkan, beliau dan isteri serta tujuh kakitangan pusat khidmat DUN Kota Damansara menjalani ujian saringan di klia2 pada 27 September sejurus pulang dari Sabah dan menjalani kuarantin kendiri di rumah selama 14 hari.

“Namun semalam, saya menerima panggilan daripada Pusat Kesihatan Daerah Petaling mengatakan saya positif Covid-19. Isteri dan anak saya juga disahkan positif. Kami semua dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut,” katanya.