- Iklan -
Berita

Malaysia mungkin adakan pilihan raya tergempar ketika pandemik Covid-19

Malaysia berkemungkinan akan mengadakan Pilihan Raya Umum dengan dibayangi Covid-19 walaupun terdapat beberapa pakar memberi amaran mengenai wujudnya taktik-taktik bagi mengganggu pilihan raya ketika pandemik. Lebih daripada 60 negara menangguhkan pilihan raya berikutan penularan wabak itu yang menjangkiti kira-kira 35 juta penduduk, mengorbankan lebih satu juta nyawa dan menyebabkan ekonomi seluruh dunia lumpuh. Akan tetapi, […]

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi
A worker from the Election Commission sprays a polling booth with sanitiser during the recent Sabah state election. Photo: Bernama
A worker from the Election Commission sprays a polling booth with sanitiser during the recent Sabah state election. Photo: Bernama

Malaysia berkemungkinan akan mengadakan Pilihan Raya Umum dengan dibayangi Covid-19 walaupun terdapat beberapa pakar memberi amaran mengenai wujudnya taktik-taktik bagi mengganggu pilihan raya ketika pandemik.

Lebih daripada 60 negara menangguhkan pilihan raya berikutan penularan wabak itu yang menjangkiti kira-kira 35 juta penduduk, mengorbankan lebih satu juta nyawa dan menyebabkan ekonomi seluruh dunia lumpuh.

Akan tetapi, negara-negara seperti Perancis, Croatia, Poland dan Korea Selatan serta negara jiran Singapura tetap mengadakan pilihan raya walaupun wujud kebimbangan penularan Covid-19.

Korea Selatan antara negara yang mendapat pujian kerana berjaya membendung penularan virus itu, yang memperlihatkan tiada kesan kadar jangkitan selepas mengadakan pilihan raya pada April lalu. Malah, pihak berkuasa melaporkan berlaku penurunan kes.

Statistik yang dikeluarkan oleh Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah bagaimanapun menunjukkan lonjakan pasca pilihan raya berlaku di Belarus, Poland dan Serbia.

Perkara sama berlaku di Singapura, walaupun kempem pilihan raya pada bulan Julai dilakukan secara dalam talian dan penjarakan sosial dilakukan ketika berkempen rumah ke rumah.

SPR bersedia hadapi cabaran

Beberapa pilihan raya diadakan di Malaysia sejak pandemik Covid-19 bermula.

Ini termasuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini dan Slim yang diadakan selepas kematian penyandangnya.

Manakala Pilihan Raya Negeri Sabah diadakan selepas ahli Dewan Undangan Negeri parti memerintah menukar kesetiaan sekaligus menyaksikan pilihan raya terbesar diuruskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas 2018.

Timbalan Pengerusi SPR, Azmi Sharom memberitahu MalaysiaNow mereka tidak akan memberi sebarang komen sama ada pilihan raya patut ditangguhkan atau tidak kerana kebimbangan mengenai Covid-19.

“Jika berlaku kekosongan kerusi atau dewan dibubarkan, adalah menjadi kewajipan kami untuk mengadakan pilihan raya.” kata Azmi yang mengambil alih tugas memangku berikutan pelantikan Azhar Harun sebagai speaker Dewan Rakyat pada Jun lalu.

Kini jawatan pengerusi SPR diisi oleh bekas setiausaha badan itu, Abdul Ghani Salleh.

Spekulasi berlakunya pilihan raya tergempar di Malaysia bermula pada masa paling buruk, selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada Februari pada ketika kes Covid-19 baru bermula.

Namun, perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang menutup perniagaan dan aktiviti harian berjaya menghentikan suara-suara yang meminta diadakan pilihan raya tergempar.

Bagi kumpulan reformasi pilihan raya, Bersih 2.0, tiada pengecualian apabila tiba masanya untuk mengadakan pilihan raya.

”Kecuali Majlis Keselamatan Negara mengisytiharkan darurat di suatu kawasan,” kata pengerusinya, Thomas Fann.

“Saya yakin bahawa Kementerian Kesihatan dan SPR dapat mengadakan pilihan raya dengan selamat sekiranya SOP diperketatkan,” katanya kepada MalaysiaNow.

SOP itu merangkumi pemakaian pelitup muka, pemeriksaan suhu dan langkah-langkah penjarakan sosial.

Data menunjukkan negara-negara yang mengadakan pilihan raya ketika pandemik Covid-19.

Di Korea Selatan, pelaksanaan SOP ketika hari pengundian di seluruh negara menelan belanja lebih RM66.5 juta.

Azmi berkata, cabaran paling besar adalah pada hari pengundian kerana orang ramai akan bertumpu di pusat-pusat mengundi.

Katanya sehingga kini tiada lagi laporan Covid-19 meningkat disebabkan orang ramai keluar mengundi.

Bagaimanapun katanya, proses berkempen kekal sebagai satu cabaran.

“Proses berkempen adalah lebih sukar untuk dikendalikaan kerana ia diadakan sekurang-kurangnya dalam tempoh dua minggu dan berlangsung di banyak kawasan,” katanya.

“Jika berlaku pilihan raya lagi dalam keadaan pandemik perlu ada peraturan untuk berkempen. Apakah peraturan itu akan ditentukan pada masa berkenaan dan ia tertakluk kepada perubahan mengikut keadaan semasa,” kata Azmi.

‘Lebih mudah untuk mengganggu pengundian’

Dengan jumlah angka Covid-19 meningkat dengan ketara baru-baru ini, lebih tinggi daripada ketika PKP dilaksanakan, adalah sukar untuk diramalkan sama ada mereka yang mendesak pilihan tergempar akan beralah bagi mengelakkan krisis kesihatan.

Satu kajian yang dilakukan baru-baru ini oleh Council on Foreign Relations yang berpusat di Washington berkata kesan terbesar pilihan raya ketika era pandemik adalah peratusan keluar mengundi yang rendah.

Memburukkan lagi keadaan apabila terdapat berita-berita palsu yang memberi maklumat salah kepada masyarakat mengenai virus itu termasuk dakwaan pusat pengundian ditutup.

“Ini adalah beberapa cara yang boleh mengganggu pilihan raya. Keputusan berkemungkinan akan lewat diumum daripada biasa, yang pasti akan menimbulkan persoalan kepada umum mengenai legitimasi undi.,” kata pusat itu.

Pada beberapa pilihan raya umum yang lalu di Malaysia, terdapat tuduhan pengundi hantu di media sosial, menyebabkan kredibilitinya dipersoalkan.

Masih belum ada kepastian sama ada pilihan raya tergempar era pandemik akan menyebabkannya mudah diganggu dan sekiranya berlaku, ia akan menjejaskan tujuannya untuk pengukuhan demokrasi.

*Fazreen Kamal turut menyumbang kepada laporan ini.