- Iklan -
Berita

Cuci reban itik besar-besaran punca pencemaran bau Sungai Semenyih, Langat

Pencemaran dikesan daripada bau bangkai hasil daripada bahan organik dan bukannya minyak.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Hee Loy Sian (Dua dari kiri). Gambar: Facebook.
Hee Loy Sian (Dua dari kiri). Gambar: Facebook.

Aktiviti pencucian secara besar-besaran yang sedang dijalankan di kawasan reban itik dan angsa di tepi Sungai Pajam, Negeri Sembilan, disyaki menjadi punca pencemaran bau di Sungai Semenyih dan Sungai Langat.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna Selangor Hee Loy Sian, berkata ini susulan pencemaran yang dikesan daripada bau bangkai hasil daripada bahan organik dan bukannya minyak.

Selain itu katanya, punca lain yang disyaki adalah kawasan Perindustrian Nilai 3 dan berharap kerajaan Negeri Sembilan dapat mengambil inisiatif untuk menyiasat perkara tersebut.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melawat aktiviti pengepaman air dari Tasik Idaman Sungai Buah ke Sungai Semenyih, untuk meningkatkan kadar pencairan ke Sungai Semenyih, di Bangi hari ini.

Loji Pembersihan Air (LPA) Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihentikan pada 4.30 petang semalam (Ahad), susulan pencemaran bau dikesan di Sungai Semenyih dan Sungai Langat yang menyebabkan gangguan bekalan air.

Loy Sian berkata bacaan bau semalam adalah antara tiga dan empat ton (threshold odour number) dikesan di muka sauk LPA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dan bacaan itu naik sehingga mencecah 11 ton malam tadi.

“Bacaan bau pada 9.30 pagi hari ini adalah dalam lapan ton dan berada dalam tahap tidak stabil. Kedua-dua LPA ini dijangka dapat dibuka semula petang nanti, sekiranya bacaan bau berada di zero ton,” katanya.

Pencemaran bau itu menyebabkan 273 kawasan terjejas yang membabitkan 309,605 akaun pengguna di empat wilayah iaitu Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang, mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Loy Sian berkata dua pam digerakkan untuk membekalkan 27 juta liter sehari (JLD) di Sungai Langat manakala 300 JLD di Sungai Semenyih.