- Iklan -
Berita

Bekas menteri kanan, ahli perniagaan bergelar ‘Tan Sri’ disiasat seleweng RM2.3 bilion

Siasatan tertumpu kepada transaksi pembelian dan pemilikan saham di sebuah syarikat tersenarai.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di ibu pejabat agensi itu di Putrajaya.
Anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di ibu pejabat agensi itu di Putrajaya.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka beberapa kertas siasatan terhadap seorang tokoh perniagaan dan seorang bekas menteri kanan berhubung penyelewengan dana negara bernilai lebih RM2.3 bilion.  

Menurut sumber SPRM, siasatan itu adalah kesinambungan dan tambahan daripada pendedahan dokumen sulit yang dibuat oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) berhubung transaksi yang disyaki berlaku di beberapa pusat kewangan luar pesisir.

“Tumpuan siasatan adalah berhubung dengan pembelian dan pemilikan saham di sebuah syarikat tersenarai oleh sebuah syarikat gergasi negara yang dikatakan didalangi oleh bekas menteri kanan ini. 

“Difahamkan juga transaksi pembelian dan pemilikan saham ini dipercayai menjadi punca kepada kemerosotan ekonomi negara serta kejatuhan mata wang ringgit pada hujung 1990-an dan telah diseleweng untuk kepentingan individu-individu terbabit untuk diselamatkan daripada mengalami kerugian yang lebih teruk,” kata sumber itu lagi.

Menurut sumber itu, siasatan juga bertumpu kepada transaksi-transaksi daripada hasil penjualan saham syarikat tersenarai tersebut.

Dalam pada itu, sumber itu berkata, siasatan terbabit juga meliputi pemilikan aset-aset berharga yang telah dikenal pasti SPRM dimiliki oleh ahli perniagaan bergelar “Tan Sri” dan bekas menteri kanan tersebut serta ahli keluarga mereka.

Ia dianggarkan bernilai berbilion ringgit yang berada di dalam dan di luar negara.

“SPRM juga telah merakam keterangan kira-kira 14 saksi dalam tempoh beberapa minggu lalu berhubung siasatan ini termasuk keterangan daripada tokoh perniagaan dan bekas menteri kanan tersebut berkaitan dengan dokumen-dokumen sulit yang didedahkan oleh Pandora Papers,” kata sumber dipetik SPRM.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan berkata siasatan tertumpu kepada Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berhubung kesalahan salah guna kuasa dan kesalahan pengubahan wang haram mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.