- Iklan -
Berita

Ketika rakyat tunggu lama, ‘orang kenamaan’ salah guna kuota haji

Amalan kontroversi pemberian kuota khas haji kepada pemimpin kerajaan masih diteruskan pada 2019, dengan menteri kanan kerajaan antara penerimanya, walaupun Pakatan Harapan (PH) mengatakan mahu menghapuskan amalan itu, menurut hasil siasatan MalaysiaNow. Amalan ini menyaksikan orang kenamaan seperti menteri dan ahli Parlimen diberikan kuota khas haji sebagai budi bicara dari kerajaan Arab Saudi. Bagaimanapun, sumber […]

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Jemaah haji berdoa sebelum berangkat ke Tanah Suci. Gambar: Facebook Tabung Haji.
Jemaah haji berdoa sebelum berangkat ke Tanah Suci. Gambar: Facebook Tabung Haji.

Amalan kontroversi pemberian kuota khas haji kepada pemimpin kerajaan masih diteruskan pada 2019, dengan menteri kanan kerajaan antara penerimanya, walaupun Pakatan Harapan (PH) mengatakan mahu menghapuskan amalan itu, menurut hasil siasatan MalaysiaNow.

Amalan ini menyaksikan orang kenamaan seperti menteri dan ahli Parlimen diberikan kuota khas haji sebagai budi bicara dari kerajaan Arab Saudi.

Bagaimanapun, sumber berkata, sudah menjadi “rahsia terbuka” kuota khas ini dijual kepada agensi-agensi pelancongan yang menguruskan urusan umrah dan haji menggunakan visa Furada, atau haji yang diuruskan secara swasta, dan bukan menerusi Lembaga Tabung Haji, badan kerajaan yang dipertanggungjawab menguruskan dana dan urusan jemaah haji setiap tahun.

Kos mengerjakan haji melalui visa Furada paling murah dianggarkan sekitar RM20,000 bergantung kepada jenis penerbangan dan penginapan yang dipilih para jemaah.

Difahamkan, setiap tahun, kerajaan Arab Saudi menganugerahkan kuota visa Furada tanpa had kepada mereka yang berhasrat menunaikan haji termasuk para imam, agamawan, kerabat diraja dan ahli politik.

“Terpulang kepada budi bicara duta,” kata Razali Mohd Sham, president Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia, kepada MalaysiaNow.

Menteri diberi kuota haji

Siasatan MalaysiaNow mendapati ahli politik dan wakil rakyat merupakan penerima terbesar kuota sedemikian sejak beberapa dekad.

“Biasanya yang menguruskan dengan kedutaan ialah pembantu kanan mereka. Bila dapat kuota, mereka jual kepada agensi pelancongan,” menurut seorang pegawai kerajaan kanan yang arif dengan amalan pemberian kuota haji.

Katanya, baru-baru ini pada tahun lepas, sekurang-kurangnya dua menteri kanan kerajaan PH menerima kuota khas haji dari kerajaan Arab Saudi.

“Zaman Barisan Nasional (BN), amalan ini adalah biasa. Cuma bila zaman PH terus berlaku walaupun mereka kata nak hapuskan amalan ini,” katanya kepada MalaysiaNow.

Buat masa ini, MalaysiaNow tidak akan menamakan kedua-dua menteri ini sementara menunggu respons daripada mereka.

Pada Disember 2018, bekas timbalan menteri agama semasa PH memerintah, Fuziah Salleh menegaskan kerajaan akan memastikan tiada lagi kuota khas haji buat menteri dan ahli Parlimen bagi memastikan ketelusan, di samping menegaskan, kuota itu adalah milik rakyat.

Fuziah dilaporkan berkata kuota khas yang diamalkan kerajaan BN menyebabkan ramai jemaah yang layak khususnya dalam kalangan warga emas tidak dapat menunaikan haji.

Bagaimanapun, ketika dihubungi Fuziah enggan mengulas lanjut dengan mengatakan penganugerahan visa Furada tersebut tidak mengganggu kuota jemaah yang berdaftar dengan Lembaga Tabung Haji (TH).

“Itu adalah polisi kerajaan Arab Saudi. Kerajaan Malaysia tidak boleh berkata apa-apa,” katanya.

Seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu MalaysiaNow sebarang penjualan kuota khas haji bagi tujuan mendapatkan wang mempunyai unsur rasuah.

Politik kuota haji

Peruntukan kuota haji selalunya tidak memihak kepada orang awam yang mendaftar dengan Tabung Haji dan menunggu peluang untuk menjalankan ibadah tersebut.

Jemaah yang mendaftar dengan Tabung Haji dipilih untuk menunaikan haji bedasarkan beberapa kriteria dengan keutamaan diberikan kepada warga emas dan golongan kali pertama.

Akan tetapi, ramai jemaah kali pertama menunggu terlalu lama, sesetengahnya sehingga 10 tahun sebelum giliran mereka tiba.

“Jadi setiap tahun, kuota khas haji untuk orang kenamaan sebenarnya menyebabkan ramai umat Islam Malaysia yang layak, menunggu selama bertahun-tahun untuk menunaikan haji, disebabkan oleh had sesebuah negara ditetapkan kerajaan Arab Saudi,” kata seorang bekas pegawai kerajaan dengan syarat tidak dinamakan.

Kerajaan Arab Saudi pada ketika ini membenarkan lebih kurang 31,000 rakyat Malaysia untuk menunaikan haji, ibadah tahunan yang menarik lebih kurang dua juta umat Islam seluruh dunia.

Kuota haji ditentukan berdasarkan 0.1 peratus jumlah penduduk sesebuah negara, diperkenalkan untuk mengelakkan jemaah haji terlalu ramai setahun selepas pertempuran berdarah antara jemaah haji Iran dan pihak berkuasa Arab Saudi di Masjidil Haram di Makkah pada Julai 1987.

Pihak berkuasa Arab Saudi menganggarkan lebih 400 jemaah haji terkorban dalam pertempuran itu.

Negara-negara Islam termasuk Malaysia menggunakan pelbagai cara untuk melobi kerajaan Arab Saudi untuk mendapatkan lebih banyak kuota dan kebanyakan daripada mereka berusaha untuk mengekalkan hubungan baik dengan Riyadh.

Sistem kuota ini memberikan manfaat kepada umat Islam di Malaysia kerana dikira berdasarkan populasi penduduk dan bukannya jumlah umat Islam di negara ini.

Ini bermakna, oleh kerana umat Islam di Malaysia hanyalah 60% daripada populasi negara, lebih banyak kuota haji diterima.

Akan tetapi, peningkatan jemaah haji di Malaysia setiap tahun menyebabkan kuota itu dirasakan terlalu sedikit.

Pada 2019, kali terakhir ibadah haji berjalan seperti biasa sebelum pendemik Covid-19 menyebabkan ianya ditangguhkan, Malaysia diberikan 30,200 kuota haji, tanpa ada sebarang peningkatan daripada kuota sebelum itu.