- Iklan -
Berita

Dua kali September, selepas 12 tahun dan naratif politik sama

Pada 2008, dakwaan tentang ramai ahli Parlimen bakal melompat mengejutkan orang ramai

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi
Kedutaan Turki di Kuala Lumpur.
Kedutaan Turki di Kuala Lumpur.

Awal pagi pada 29 Jun, 2008 di kedutaan Turki di Kuala Lumpur yang pada ketika itu di sebuah rumah banglo di Jalan U Thant, terheret dengan perbalahan domestik Malaysia apabila menerima kehadiran seorang ahli politik terkemuka di pintu pagarnya.

Akan tetapi hanya beberapa jam kemudian penyokong rapatnya mengumumkan kepada media lokasi Anwar Ibrahim, yang sedang menunggu dibenarkan kembali aktif berpolitik akibat daripada sabitan liwat kes sebelumnya.

Penyokong Anwar mendakwa pemimpin mereka terpaksa mencari perlindungan di kedutaan Turki selepas mendapat maklumat nyawanya terancam.

“Kami (PKR) dan saya sendiri, menerima maklumat bahawa ini adalah satu percubaan bukan sahaja untuk membunuh karier politiknya, tetapi jika boleh, membunuh beliau,” kata timbalan presiden PKR pada ketika itu, Syed Husin Ali kepada media.

Semuanya bermula sehari selepas kakitangan muda di pejabat Anwar, membuat laporan polis mendakwa ahli politik itu meliwatnya.

Anwar mengatakan tuduhan Mohd Saiful Bukhari Azlan sebagai percubaan untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada kenaikan harga makanan dan minyak oleh kerajaan Abdullah Badawi yang berdepan dengan takanan daripada partinya selepas Barisan Nasional (BN) hilang majoriti dua pertiga buat pertama kalinya pada pilihan raya umum 2008.

Pada ketika itu Anwar sedang sibuk untuk menarik ahli Parlimen Barisan BN melompat menyertainya.

Lima minggu sebelum drama di kedutaan Turki, di mahkamah Anwar tidak mengaku bersalah atas tuduhan meliwat, yang kemudiannya digelar sebagai Liwat II.

Kes ini berjalan selama enam tahun dan berakhir di Mahkamah Persekutuan, di mana Anwar dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun.

Sebaik sahaja didakwa, Anwar terus agresif dalam rancangannya menjatuhkan kerajaan BN melalui ahli Parlimen yang melompat, yang beliau umumkan buat pertama kalinya sebulan selepas Pilihan Raya Umum 8 Mac pada 2008.

Anwar pada Rabu mengumumkan kerajaan PN tumbang selepas beliau mempunyai sokongan yang kukuh dan meyakinkan untuk menjadi perdana menteri.

Pada pilihan raya itu, pembangkang diketuai Anwar menang 82 daripada 222 kerusi Parlimen, bermakna beliau hanya memerlukan 30 ahli Parlimen untuk bersamanya bagi menubuhkan kerajaan.

Ramai yang tidak yakin ia boleh berlaku, akan tetapi terdapat juga pandangan yang ahli Parlimen boleh dibeli dengan mereka dari Sarawak dan Sabah dikatakan “bersedia untuk dibeli”.

16 September ditetapkan sebagai tarikh ahli-ahli Parlimen BN akan melompat dan khabar angin mengatakan Anwar akan mengadap Agong.

“Terdapat ketakutan dan keterujaan dan semua khabar angin diambil serius,” kata seorang ahli politik berpengalaman yang terlibat aktif dengan rancangan September 2008.

Menjelang 16 September, sekumpulan ahli Parlimen BN dihantar ke Taiwan untuk lawatan sambil belajar, satu langkah dilihat untuk menghalang mereka berkomunikasi dengan pembangkang.

Akan tetapi pimpinan PKR menghantar pemimpin ke Taiwan untuk bertemu mereka.

Pengarah strategi PKR pada ketika itu, Saifuddin Nasution Ismail mengatakan mereka bertemu ahli-ahli Parlimen itu dan “mengadakan perbincangan yang baik” sementara ketua penerangan pada ketika itu, Chua Tian Chang “teruja dengan perkembangan politik terkini”, di mana kedua-dua dakwaan ini dinafikan BN.

PKR mengatakan ahli Parlimen BN bercadang untuk menyokong timbalan presiden Umno pada ketika itu, Najib Razak untuk menggantikan Abdullah.

“Mereka beritahu saya jika gagal, mereka akan menyertai Pakatan Rakyat,” kata Chua yang dikenali sebagai Tian Chua, seperti dilaporkan The Star.

Malam sebelum 16 September, pembangkang Pakatan Rakyat, PKR, DAP dan PAS yang baru sahaja merampas Selangor, memilih Stadium Petaling Jaya di Kelana Jaya untuk mengumpulkan lebih kurang 10,000 penyokong untuk menyokong “rampasan kuasa” di peringkat persekutuan.

“Akan tetapi semuanya tidak menjadi kenyataan, BN bertahan walaupun Abdullah Badawi meletakkan jawatan sebagai perana menteri,” kata seorang ahli politik kepada MalaysiaNow, merujuk kepada pengumuman Abdullah untuk menyerahkan kuasa kepada Najib pada Mac 2009.

Katanya, adalah penting untuk mengkaji peristiwa yang berlaku sebelum episod 16 September, 2008 untuk memahami pengumuman Anwar minggu lepas.

“Dalam kedua-dua situasi, terdapat kaitan dengan kebebasan peribadi Anwar,” katanya.

Pada 21 September, dua hari sebelum pengumuman Anwar minggu lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menafikan percubaan presiden PKR itu untuk mengenepikan percubaan seorang peguam, mencabar pengampunan Dirajanya.

Dalam samannya, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz mendakwa pengampunan penuh diberikan kepada Anwar bercanggah dengan Perkara 42(4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan berikutan kuasa pengampunan hendaklah dilaksanakan dengan nasihat oleh Lembaga Pengampunan.

Anwar dibebaskan dari penjara selepas diampunkan, janji dibuat Pakatan Harapan (PH) semasa kempen pilihan raya, dilihat sebagai langkah untuk melantiknya sebagai perdana meteri.

Sebarang keputusan membatalkan pengampunan itu akan mendatang “bencana” kepada Anwar, bukan sahaja kepada gabungan PH, tetapi kebebasan peribadinya.

“Sebab itu kita dapat lihat persamaan antara sekarang dan episod September 2008,” kata ahli politik sama.