- Iklan -
Berita

Dalam indeks kebebasan negara Islam, Malaysia berada di tengah

Negara Islam yang mempunyai rekod terburuk dalam kebebasan beragama ialah Arab Saudi.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi
Pusat pemerintahan Malaysia di Putrajaya.
Pusat pemerintahan Malaysia di Putrajaya.

Dalam senarai menunjukkan bagaimana negara majoriti Islam menguruskan kebebasan individu, Malaysia berada di tengah, akan tetapi hampir menyertai negara lain kerana tidak mencapai purata dunia, menurut kajian tentang kebebasan di dunia Islam dilakukan sebuah institusi berpangkalan di Washington.

Kajian dikeluarkan bulan lepas oleh institusi yang melakukan kajian tentang isu berkaitan polisi, The Cato Institute turut mendapati lebih 1.8 bilion daripada 1.9 bilion orang Islam dunia, tinggal di negara yang mana kebebasan individu berada di bawah purata dunia.

Kajian itu melihat kepada beberapa kategori kebebasan individu – perundangan, jaminan dan keselamatan, kebebasan bergerak, beragama, berpersatuan, berhimpun dan masyarakat sivil, bersuara dan maklumat.

Ia diukur oleh Indeks Kebebasan Manusia, yang dianggap sebagai indeks kebebasan paling komprehensif setakat ini dan melakukan kajian meliputi 162 negara.

Dalam salah satu senarai untuk mengukur kebebasan lebih kurang 40 negara majoriti Islam, Malaysia mendapat 5.70, di atas Brunei (4.76) akan tetapi jauh di belakang Indonesia (6.38) , yang merupakan antara negara terbaik dalam memberikan kebebasan individu.

Bagaimanapun, seperti hampir kesemua negara, ketiga-tiga negara majoriti Islam di Asia Tenggara ini berada di kedudukan di bawah purata dunia untuk kebebasan individu (6.98).

Menurut kajian itu, hanya empat negara majoriti Islam – dua di Eropah, satu di Afrika dan satu bekas negara Kesatuan Soviet – berada di kedudukan di atas purata dunia bagi kebebasan individu.

Menjadikan mereka negara majoriti Islam paling menghormati kebebasan individu. Negara-negara itu adalah Bosnia dan Herzegovina, Albania, Burkina Faso dan Kyrgyzstan.

Kebebasan bersuara

Hampir separuh daripada negara-negara Islam mendapat markah 7.00, purata dunia untuk kebebasan bersuara adalah 7.75. Malaysia adalah antara negara yang mendapat marah di bawah 7.00, berada di bawah negara Timur Tengah seperti Qatar dan Kuwait dan di bawah Indonesia yang mendapat 7.52.

Bosnia masih di tangga teratas dalam kategori ini, diikuti dengan Albania, Lebanon, Senegal, Nigeria dan Tunisia, kesemuanya mendapat markah melebihi 8.

Malaysia juga berada di belakang Iran dan Pakistan bagi kategori kebebasan beragama, menyertai negara majoriti Islam yang dikatakan mempunyai rekod terburuk dalam kebebasan beragama, dengan Arab Saudi berada di tangga terbawah.

Kajian ini mendefinasikan kebebasan beragama sebagai bebas untuk menubuhkan dan mengoperasikan badan keagamaan, bebas daripada sekatan undang-undang dan peraturan, termasuk bebas daripada gangguan dan permusuhan.

Dari segi kebebasan wanita, Malaysia mendapat markah 5 daripada 10, sementara negara Islam lain seperti UAE, Iran, Qatar, Mesir dan Arab Saudi berada di belakang dengan markah 2.

Kazakhstan mendapat markah penuh 10, sementara negara Asia Tengah dan Eropah seperti Kyrgyzstan, Azerbaijan, Bosnia dan Albania turut mendapat markah tinggi.

Turki turut mendapat markah tinggi 9, walapun kajian itu mengatakan negara itu antara terburuk dalam kebebasan individu.

Perundangan

Walaupun mendapat markah rendah dalam pelbagai kategori, dari segi perundangan, The Cato Institute mendapati Malaysia adalah antara yang terbaik.

Malaysia menyertai Jordan, Bosnia dan Herzegovina dan Albania mendapat markah di atas purata dunia dalam perundangan.

Dalam laporan mereka, kajian juga cuba melihat sama ada tahap kebebasan di negara Islam mempunyai kaitan dengan amalan demokrasi di negara mereka.

Menurut kajian itu, di peringkat global, sesebuah negara semakin bebas apabila ia lebih demokratik, akan tetapi penglibatan politik Islam dalam demokrasi bermakna kaitan itu tidak relevan dalam dunia Islam.

“Salah satu penjelasan ialah demokrasi di dunia Islam, terutamanya dengan penglibatan parti politik Islamis, cenderung menggunakan pendekatan tidak liberal dalam hak asasi manusia dan kebebasan seperti yang didefinasikan secara universal, mungkin dibendung persetujuan popular,” kata institut itu.

Mereka memberikan contoh Turki walaupun mempunyai sistem yang demokratik, tetapi lebih buruk dari negara autokratik seperti Krgyzstan, Kazakhstan, Jordan dan Burkina Faso dalam kebebasan individu.