- Iklan -
Berita

Umno pecah dua selepas Zahid sokong Anwar

Beberapa ahli Parlimen termasuk presiden parti yang menyokong Anwar berdepan tuduhan rasuah.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Former deputy prime minister Ahmad Zahid Hamidi. Photo: Bernama
Former deputy prime minister Ahmad Zahid Hamidi. Photo: Bernama

Selepas Ahmad Zahid Hamidi menyatakan sokongan terhadap Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk menggulingkan kerajaan Perikatan Nasional (PN), Umno kini berpecah kepada dua dengan kumpulan yang menentang kini berpayung di bawah timbalan presiden, Mohamad Hasan, kata sumber.

MalaysiaNow difahamkan, kenyataan dibuat Zahid semalam dilakukan dengan tergesa-gesa tanpa berbincang terlebih dahulu dengan Majlis Tertinggi Umno, badan paling berkuasa dalam parti Melayu itu.

“Sebab itulah kenyataan presiden (Zahid) dikeluarkan tanpa menggunakan letterhead Umno,” kata sumber yang dekat dengan kepimpinan Umno dengan syarat tidak dinamakan.

Bagaimanapun akar umbi Umno seolah tidak senang duduk dengan pendirian Zahid, dan menyatakan sokongan di belakang timbalannya.

Zahid juga dikenali sebagai rakan baik Anwar ketika kedua-dua memimpin Umno pada akhir 1990-an, dituduh dengan 47 tuduhan yang melibatkan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.

Malah Zahid juga dikatakan berharap tuduhan terhadapnya digugurkan apabila setuju bekerjasama dengan Muhyiddin yang meninggalkan Pakatan Harapan (PH) Februari lalu.

“Bagaimanapun apa yang diharapkan itu tidak mungkin berlaku, jika melihatkan terhadap kes yang melibatkan Najib yang didapati bersalah walaupun memberikan sokongan terhadap Perikatan Nasional,” menurut sumber yang sama dalam Umno, merujuk kepada pertuduhan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak pada Julai lalu atas tujuh tuduhan berkaitan dengan RM42 juta dana SRC International dalam akaun bank peribadinya.

“Perjanjian dengan Anwar, bekas mentornya, mungkin satu-satunya jalan keluar bagi Zahid,” tambah sumber itu lagi.

Difahamkan ada juga beberapa ahli Parlimen Umno lain yang berminat untuk bergabung dengan Anwar, termasuk Zahid dan Najib yang menghadapi pelbagai tuduhan rasuah dan juga siasatan.

Presiden PKR Anwar Ibrahim pada sidang media yang dilakukan di Hotel Le Meridiance, Kuala Lumpur pada 23 September, 2020.

MalaysiaNow bagaimanapun belum dapat mengesahkan tuntutan tersebut, tetapi cubaan untuk mendapatkan komen daripada ahli Parlimen yang dimaksudkan ditolak.

Sementara itu, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat, secara terbuka menyatakan Umno masih lagi bersama PN, meskipun ada keraguannya terhadap partinya untuk kembali berkuasa tanpa masuk pilihan raya.

Tok Mat dilaporkan menyatakan sebarang keputusan untuk menukar gabungan Umno hanya boleh diputuskan melalui perbincangan dalam parti.

Bekas pengarang kanan Utusan Malaysia, Zaini Hassan mengesahkan berlaku perpecahan dalam Umno selepas Zahid mengeluarkan kenyataan menyokong Anwar semalam.

“Kemarahan dalam kalangan akar umbi Umno sudah tak dapat diredakan, itu sahaja yang boleh saya beritahu,” kata Zaini kepada MalaysiaNow.

Hari ini, Zaini yang kini merupakan ketua pengarang kepada Bebas News dalam tulisan di portal itu mengatakan “revolusi dalam Umno tidak boleh dielakkan”.

“Apa yang dilakukan oleh Zahid Hamidi yang membuat kenyataan menyokong Anwar Ibrahim itu dilihat cukup janggal. Apakah beliau tidak sedar bahawa gagasan AI (Anwar Ibrahim) itu mustahil dilakukan tanpa sokongan DAP dan Sarawak.

“Adakah DAP sanggup bersekongkol dengan Zahid dan Najib Razak,” tulis Zaini di kolumnya “Cuit”.

Sekiranya semua ahli Parlimen sekutu Pakatan Harapan (PH) menyokong Anwar, beliau akan mendapat sokongan sekurang-kurangnya 91 wakil rakyat dan memerlukan sekurang-kurangnya 20 lagi.

Umno kini menguasai 39 kerusi di Dewan Rakyat selepas beberapa orang keluar parti dan menyertai Bersatu.