- Iklan -
Berita

PAS cabar Anwar senaraikan ahli Parlimen sokong bentuk kerajaan baru

Tuan Ibrahim berkata, setiap parti yang menyokong PN perlu mengawal wakil rakyat masing-masing.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
PAS cabar Anwar dedahkan nama ahli-ahli Parlimen yang menyokongnya. Gambar: Bernama
PAS cabar Anwar dedahkan nama ahli-ahli Parlimen yang menyokongnya. Gambar: Bernama

PAS mencabar Presiden PKR Anwar Ibrahim membuktikannya kenyataannya yang beliau menerima sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan baru dengan menyenaraikan nama ahli Parlimen terbabit.

Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kesemua 18 ahli Parlimen PAS tidak memihak kepada ketua pembangkang itu.

“Kami daripada PAS mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan tidak timbul soal untuk menyeberang atau menyatakan sokongan kepada kepada yang lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Ozon Sedunia 2020 dan prapelancaran Hari Alam Sekitar Negara 2020, di Putrajaya hari ini.

Ditanya sama ada perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet pagi tadi, beliau berkata perkara tersebut ada dibincangkan namun hanya sepintas lalu kerana bukan isu besar.

Mengenai kenyataan presiden Umno yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi bahawa Umno dan BN tidak dapat menghalang ahli Parlimennya daripada menyokong Anwar, menteri alam sekitar dan air itu berkata setiap parti yang menyokong PN perlu mengawal wakil rakyat masing-masing.

“Parti perlu bertanggungjawab memastikan ahli-ahli Parlimen kita mendukung PN dan saya fikir bagi pihak PAS kita komited dengan kerajaan PN,” katanya.

Sementara itu di Kota Bharu, Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah berkata dakwaan ketua pembangkang tersebut tidak boleh diterima dengan mudah kerana sesiapa sahaja boleh membuat kenyataan sedemikian.

Katanya jika benar Anwar mempunyai majoriti, maka beliau perlu menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi tujuan sama ada pembubaran Parlimen atau perdana menteri meletak jawatan.

“Kerajaan tidak akan tumbang kalau buat kenyataan media sahaja,” katanya yang ditemui pemberita selepas perasmian pejabat Koperasi Sindiyan Berhad hari ini.

Mohd Amar juga yakin kerajaan semasa masih kukuh dan mampu bertahan sekalipun dengan majoriti kecil.

Senada dengan desakan PAS agar Anwar mendedahkan nama ahli parlimen yang menyokongnya, Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata dakwaan ahli Parlimen Port Dickson itu hanya sekadar gimik untuk memastikan kemenangan PKR dan sekutunya pada Pilihan Raya Negeri Sabah.

“Selagi beliau (Anwar) tidak menunjukan satu persatu nama dan bilangan ahli Parlimen yang dikatakan bersama beliau, selagi itu bagi saya semuanya omongan kosong, kita tunggu dan lihatlah sama ada apa yang beliau cakap itu betul atau tidak,” katanya selepas sesi pengumuman Pemenang Pertandingan Reka Cipta dan Inovasi (iDEA) Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) 2020, di Putrajaya.