- Iklan -
Berita

Pertembungan sesama sekutu ‘norma baru’ untuk menang, kata Bung Moktar

Bagaimanapun, Bung Moktar berkata memandangkan hampir kesemua parti merasakan mendapat sokongan padu daripada akar umbi, pertembungan itu tidak dapat dielak dalam usaha memastikan kemenangan tidak berpihak kepada Warisan Plus.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini bertegas agar Bung Moktar menjadi ketua menteri Sabah. Gambar: Bernama
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini bertegas agar Bung Moktar menjadi ketua menteri Sabah. Gambar: Bernama

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Bung Moktar Radin menyifatkan pertembungan antara Perikatan Nasional (PN) dan rakan sekutunya BN serta PBS di 17 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 sebagai “politik norma baru” bagi memastikan gabungan itu menang dan membentuk sebuah kerajaan negeri.

“Justeru itu, saya meminta kepada seluruh pemimpin BN supaya kita memasuki norma baru ini.

“Kita tidak boleh lawan arus… sebab itu, kalau dulu kita kata kita bertanding atas dasar kuota tetapi kali ini, kita bertanding kerana mahu menang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ceramah di Pusat Daerah Mengundi Bukit Garam di Kinabatangan semalam.

Bung Moktar, yang juga calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, turut menyifatkan kaedah baharu itu sebagai “cara orang mahu menang.”

Beliau mengakui terdapat rakan sekutu yang tidak senang hati dengan keputusan itu dan masing-masing tidak mahu bertembung merebut kerusi yang sama.

Bagaimanapun, Bung Moktar berkata memandangkan hampir kesemua parti merasakan mendapat sokongan padu daripada akar umbi, pertembungan itu tidak dapat dielak dalam usaha memastikan kemenangan tidak berpihak kepada Warisan Plus.

Kerusi yang menyaksikan pertembungan itu ialah Bengkoka, Telupid, Lumadan, Matunggong, Tandek, Kadamaian, Kapayan, Karamunting, Melalap, Sook, Bingkor, Moyog, Tulid, Paginatan, Liawan, Tambunan dan Tanjung Aru.

Kebanyakan kawasan pilihan raya itu terletak di pedalaman, tengah serta bahagian utara Sabah dengan sebilangan besar mempunyai majoriti pengundi Kadazandusun dan Murut.

Semalam, Timbalan Presiden PBS Radin Malleh menyifatkan pertembungan itu sebagai “pertembungan mesra” dan akan memperkukuh kedudukan PN serta rakan sekutunya di Sabah.