- Iklan -
Berita

Khairy bertemu Veveonah, mohon maaf bagi pihak kerajaan

Menerusi hantaran di Facebooknya, Khairy berkata dalam pertemuan di Universiti Malaysia Sabah itu, beliau mewakili kerajaan turut memohon maaf kepada Veveonah dan ibu bapanya, atas kesulitan yang dilaluinya baru-baru ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Khairy mewakili kerajaan bertemu Veveonah untuk memohon maaf. Gambar: Facebook Khairy
Khairy mewakili kerajaan bertemu Veveonah untuk memohon maaf. Gambar: Facebook Khairy

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) Khairy Jamaluddin Abu Bakar, semalam berkesempatan mengadakan pertemuan bersama pelajar Veveonah Mosibin, yang tular pada Jun lepas kerana memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet di pedalaman Sabah.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Khairy berkata dalam pertemuan di Universiti Malaysia Sabah itu, beliau mewakili kerajaan turut memohon maaf kepada Veveonah dan ibu bapanya, atas kesulitan yang dilaluinya baru-baru ini.

“Saya juga telah cadangkan untuk Veve berkerjasama dengan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), untuk membangunkan projek inovasi di kampung beliau dalam pemeliharaan alam sekitar,” katanya.

Pada 3 Sept lepas, jawapan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin, ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Negara mengenai Veveonah yang terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet, mencetuskan polemik.

Zahidi dilaporkan media sebagai berkata, hasil siasatan kementerian mendapati Veveonah sebenarnya tidak menduduki peperiksaan ketika video tular itu dirakam, namun Veveonah dalam laporan sebuah portal kemudiannya menafikan kenyataan Zahidi dan mendakwa dia memang mengambil peperiksaan, seperti dalam video itu.

Semalam, Zahidi memohon maaf di Dewan Negara, kerana menimbulkan kekeliruan berhubung masalah capaian internet yang dihadapi penuntut universiti itu.