- Iklan -
Berita

Peguam gesa Tommy Thomas tidak buat sebarang komen berhubung kes rasuah Zahid

Peguam pembelaan Zahid berkata ia boleh menjurus kepada elemen 'sub judice' dan bersifat menghina mahkamah.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas peguam negara Tommy Thomas. Gambar: AFP
Bekas peguam negara Tommy Thomas. Gambar: AFP

Pasukan peguam pembelaan Ahmad Zahi Hamidi menggesa bekas peguam negara Tommy Thomas, agar tidak membuat sebarang komen atau dapatan ke atas kertas siasatan kes sistem visa luar negara (VLN).

Pasukan yang diketuai oleh Hisyam Teh Poh Teik menerusi kenyataan semalam, berkata kes tersebut masih dalam proses perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, dan ia menjurus kepada elemen sub judice.

“Kuasa budi bicara atau sebaliknya (prosecutorial discretion or indiscretion) dan kekurangan atau kecacatan dalam siasatan adalah antara isu yang sedang dibicarakan.

“Segala komen yang telah dibuat oleh bekas peguam negara yang disiarkan oleh Malaysiakini di bawah tajuk ‘Lejar Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB): Bekas AG kata kertas siasatan tiada maklumat mikro’ adalah bersifat penghinaan Mahkamah,” katanya.

Media tempatan melaporkan Tommy memberitahu kertas siasatan membabitkan sistem VLN, tidak mengandungi “maklumat mikro” diperlukan untuk mendakwa individu lain, selain bekas timbalan perdana menteri itu.

Zahid, kini berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah S$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku menteri dalam negeri, bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan Sistem VLN, serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Pada 16 Jun lepas, bekas timbalan perdana menteri itu mengaku tidak bersalah atas satu tuduhan pindaan rasuah berhubung sistem VLN.