Friday, July 1, 2022

Tengku Ahmad Rithauddeen meninggal dunia di usia 94 tahun

Bekas menteri pertahanan itu meninggal dunia di rumahnya di Jalan Duta.

Other News

Bekas menteri pertahanan Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail menghembuskan nafas terakhir di usia 94 tahun di kediamannya di Jalan Duta pada 8.43 malam tadi.

Anak veteran Umno itu, Tengku Farith berkata bapanya yang mesra disapa Ku Deen mengalami strok dua minggu lalu dan mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta sebelum dibenarkan discaj.

“Tetapi pagi ini Allahyarham mengalami sesak nafas sebelum meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Jenazah beliau dibawa ke Masjid Wilayah Jalan Duta 8.30 pagi ini untuk dimandikan dan solat jenazah.

Bagaimanapun, katanya lokasi pengebumian masih belum diputuskan sama ada di Masjid Negara atau Bukit Kiara.

Selain berkhidmat sebagai menteri pertahanan dari 1987 hingga 1990, Rithauddeen juga pernah dilantik sebagai menteri fungsi khas di kementerian luar negara (1973) sebelum menjadi menteri maklumat dan fungsi khas (1974).

Beliau juga pernah menyandang jawatan menteri hal ehwal luar negara (1975), menteri perdagangan dan industri (1981) sebelum dilantik semula sebagai menteri luar negara (1984) dan menteri maklumat (1986).

Sebelum itu, beliau pernah menjadi timbalan menteri pertahanan pada 1970 dan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 1972.

Dalam arena politik, Rithauddeen merupakan bekas pengerusi Lembaga Disiplin Umno pada 2001 dan ahli Majlis Tertinggi Umno (1987).

Bekas Pengerusi Umno Kelantan itu juga merupakan pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang pada 1973 selain bekas presiden Majlis Pengelola Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNMA).

Jasanya dalam bidang pendidikan pula ialah sebagai pro-canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1992 selain sempat mencurah bakti dalam bidang sukan sebagai timbalan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 1988.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles