Sunday, July 3, 2022

MoU dengan kerajaan diperlukan untuk pastikan kebebasan kehakiman, kata PH

PH menyokong kenyataan ketua hakim negara yang menyifatkan tohmahan terhadap hakim dan badan kehakiman baru-baru ini adalah keterlaluan.

Other News

Pakatan Harapan (PH) hari ini menggesa supaya kerajaan persekutuan memastikan kebebasan badan kehakiman sentiasa dilaksanakan, mengatakan ia termaktub dalam perjanjian persefahaman (MoU) dengan kerajaan persekutuan.

Dalam sebuah kenyataan, ia berkata PH menyokong penuh kenyataan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berhubung tohmahan terhadap hakim dan badan kehakiman yang disifatkan sebagai keterlaluan.

Menurutnya, Perkara 4.1 di dalam MoU tersebut menyatakan dengan jelas bahawa kerajaan perlu memastikan badan kehakiman bebas “sepanjang masa”.

“Kami menggesa agar kerajaan persekutuan memastikan MoU ini terus terlaksana dengan menjamin bahawa agensi-agensi penguatkuasaan tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan serta sentiasa menghormati prinsip kebebasan badan kehakiman,” katanya.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini membuka siasatan terhadap hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali berhubung dakwaan wang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya.

Nazlan adalah hakim yang menyampaikan sabitan kesalahan jenayah pecah amanah, pengubahan wang haram dan rasuah berhubung penyelewengan RM42 juta dana SRC International ke atas Najib Razak.

Ekoran tuduhan ke atasnya, Nazlan telah membuat laporan polis sambil menyifatkan tuduhan ke atasnya itu berniat jahat, tidak berasas dan bertujuan untuk mencemarkan kredibilitinya sebagai seorang hakim.

Dalam pada itu, pemimpin PH berkata MoU dengan kerajaan perlu diteruskan bagi memastikan agensi penguatkuasaan tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan sebaliknya menghormati prinsip kebebasan badan kehakiman.

“Amatlah jelas, badan kehakiman yang bebas merupakan tunjang kepada negara hukum dan sistem demokrasi yang diterima, dipercayai serta diyakini rakyat.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles