Monday, July 4, 2022

Anwar tidak tolak rundingan dengan Bersatu

Pengerusi PH itu berkata berbincang bukan bermaksud berdamai, tetapi bekerjasama untuk kebaikan dan kebajikan negara.

Other News

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim memberikan isyarat sedia untuk bekerjasama dengan Bersatu diketuai Muhyiddin Yassin sekali lagi, walaupun mendapat bantahan pempinan gabungan itu yang mengatakan pendekatan “khemah besar” bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang tidak boleh memasukkan parti-parti dari Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Dalam sebuah laporan khas Malaysiakini hari ini, presiden PKR itu berkata sebagai pemimpin politik, beliau tidak seharusnya berhenti dalam mengadakan rundingan dengan pihak lain.

“Kalau nak jadi pimpinan politik dan kata jangan bincang dengan sesiapa, tak betul.

“Saya kalau perdana menteri minta jumpa esok, saya ubah suai, saya jumpa. Walaupun dari segi politik itu permusuhan politik.

“Bukan bermakna nak berdamai, (ia) bermakna untuk menjalankan beberapa kerja dari segi soal negara, soal rakyat,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini hari ini.

Semalam, Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata pendekatan “khemah besar” PH tidak seharusnya memasukkan gabungan parti politik yang membentuk kerajaan sama ada Umno, Bersatu atau PAS.

“Tidak mungkin PH akan bekerjasama dengan pengkhianat yang jelas mengkhianati amanah dan mandat rakyat,” katanya.

Mohamad turut mengatakan pengkhianat PH adalah mereka yang melompat untuk bersama Bersatu dan PN atas sebab tawaran yang dibuat ketika itu sambil menambah tidak wajar kumpulan yang melompat parti disamakan dengan mereka yang tidak melompat parti.

“Seperti mana tidak wajar kita anggap PKR sebagai parti pengkhianat atas sebab timbalan presidennya dan belasan ahli Parlimennya melompat, begitu juga adalah tidak wajar kita namakan Pejuang, Warisan dan Muda sebagai pengkhianat atas sebab pengkhianatan Muhyiddin dan Bersatu,” katanya merujuk Muhyiddin.

Dalam pada itu, Pengerusi DAP Lim Guan Eng ketika kongres partinya bulan lalu turut menegaskan tiada kerjasama dengan mereka yang mengkhianati perjuangan gabungan itu.

“Kalau kali pertama kita kena (tikam) belakang sekali, itu salah dia. Kalau kali kedua anda ditipu sekali lagi, itu salah anda sendiri,” katanya.

Dalam wawancara itu juga, Anwar turut bercakap mengenai “kesediaan untuk berbincang”.

“Kalau untuk kebajikan, saya fikir untuk jadi pemimpin yang diketengahkan di arus perdana, harus ada kesediaan untuk tidak dilihat sebagai pemimpin kelompok atau parti yang sempit.

“Tetapi (pemimpin) yang keras prinsipnya tegas, tapi ada kesediaan untuk berbincang ini dalam sunnah Rasulullah. Ini yang berlaku dan kita tak lari dari itu,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles