Tuesday, May 17, 2022

Wanita sebabkan kematian 8 remaja ‘basikal lajak’ dipenjara 6 tahun, denda RM6,000

Mahkamah Tinggi Johor Bahru membatalkan keputusan Mahkamah Majistret sebelum ini yang membebaskan Sam Ke Ting daripada pertuduhan terhadapnya.

Other News

Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini menjatuhkan hukuman enam tahun penjara dan denda RM6,000 terhadap seorang wanita selepas didapati bersalah memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak pada 2017.

Dalam penghakimannya, hakim Abu Bakar Katar berkata pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan yang telah membuktikan dengan jelas intipati kesalahan.

“Perbuatan responden yang memandu cara melulu atau merbahaya telah menyebabkan kehilangan lapan lapan nyawa. Mahkamah ini mengikuti pendekatan nas duluan yang mengambil kira bilangan mangsa yang terlibat dalam menjatuhi hukuman,” kata beliau.

Hakim membatalkan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Oktober tahun lalu yang mengekalkan keputusan sebelumnya untuk membebaskan Sam Ke Ting daripada pertuduhan terhadapnya.

Beliau berkata mahkamah bicara telah terkhilaf apabila gagal memutuskan pembelaan wanita itu secara tidak bersumpah bersifat penafian semata-mata atau selepas berfikir.

“Dalam pembelaannya, (wanita itu) menyatakan tidak nampak kumpulan basikal di tempat kemalangan dan ada kenderaan lain yang melanggar basikal si mati dan telah melarikan diri. Versi ini tidak pernah ditimbulkan semasa kes pendakwaan.”

Sam, yang berusia 22 tahun ketika kejadian didakwa memandu kereta di Jalan Lingkaran Dalam secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian lapan penunggang basikal pada pukul 3.20 pagi pada 18 Februari 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda RM20,000 jika disabitkan kesalahan.

Pada 28 Oktober 2019, dia dibebaskan daripada pertuduhan tersebut oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru.

Bagaimanapun, pada 18 Februari 2021, dia diperintahkan membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pada 10 Oktober 2021, majistret Siti Hajar Ali memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Sam.

Hakim juga berkata mahkamah bicara telah terkhilaf apabila gagal menimbangkan pembelaan wanita itu telah tidak menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah atas kes pendakwaan bagi pertuduhan memandu kereta secara merbahaya mengambil kira keadaaan jalan yang berselekoh dan berbukit sedikit.

“Mahkamah bicara terkhilaf apabila menerima pembelaan yang tidak mengetahui adanya aktiviti basikal lajak pada malam kejadian sebagai alasan untuk memandu keretanya secara merbahaya sehingga mengorbankan mangsa yang dinyatakan dalam pertuduhan.

“Responden seharusnya memandu keretanya dengan lebih berhati-hati dan bukannya memandu dengan laju sehingga menyebabkan kemalangan tersebut,” kata beliau.

Terdahulu, pihak pendakwaan yang diwakili pengarah pendakwaan Johor Tengku Amir Zaki Tengku Abd Rahman dan timbalan pendakwa raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali, memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan mempertimbangkan prinsip kepentingan awam.

Bagaimanapun, wanita itu yang diwakili peguam Muhammad Faizal Mokhtar, merayu agar mahkamah menjatuhkan hukuman ringan memandangkan ini kesalahan pertama anak guamnya yang menanggung kedua ibu bapanya.

Faizal turut memohon penangguhan pelaksanaan hukuman ke atas responden yang hukumannya bermula hari ini.

Bagaimanapun, hakim tidak membenarkan penangguhan berkenaan selagi tidak menerima kebenaran merayu daripada Mahkamah Rayuan.

Mahkamah juga mengarahkan agar butiran sabitan dicatat dalam lesen memandu responden selain ia diserahkan pada atau sebelum esok untuk tindakan selanjutnya.

Terdahulu, wanita yang berbaju kemeja putih berbelang dan berseluar warna coklat muda itu hadir ditemani seorang rakannya tiba di perkarangan kompleks Mahkamah Johor Bahru, kira-kira jam 9 pagi tadi.

 

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles