Wednesday, May 18, 2022

Dewan Rakyat ‘monyet dan katak’ tarik perhatian Sultan Selangor

Lukisan menggambarkan sidang Parlimen dihadiri ‘monyet dan katak’ bakal menghiasi bilik peribadi Sultan Sharafuddin.

Other News

Sebuah karya catan menggambarkan monyet dan katak hadir pada sidang Dewan Rakyat menarik minat Sultan Selangor Sultan Sharafuddin yang berkenan membelinya bagi menghiasi bilik peribadi.

Dalam muat naik di Instagram rasmi Istana Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dilihat bergambar bersama catan yang dibelinya.

“Sebuah hasil karya seni lukisan telah menarik perhatian Sultan Selangor.

“Sebaik melihatnya, baginda berkenan untuk membeli karya lukisan itu dan menggantungnya di ‘private study room’ baginda,” tulis kapsyen hantaran tersebut di Instagram.

Lukisan itu seakan sama atau disadur daripada sebuah karya seniman Britain, Banksy yang menggambarkan Parlimen Britain dipenuhi cimpanzi pada 2009.

Karya Banksy tersebut dijual dengan nilai bidaan mencecah hampir £9.9 juta atau RM50 juta pada 2019.

Rata-rata pengguna media sosial berkata lukisan itu memberi satu maksud yang “mendalam” bagi situasi politik negara, di samping mencerminkan kekecohan dan insiden memaki yang kerap berlaku ketika sidang Dewan Rakyat.

Sementara itu, kiriman Instagram itu tidak menyatakan identiti pelukis.

“Satu hari nanti, baginda berhasrat untuk melelong lukisan ini dan hasil lelongannya akan disumbangkan untuk tujuan kebajikan,” menurut kiriman itu lagi.

Ketika dihubungi MalaysiaNow, seorang jurucakap di talian hotline Istana Selangor mengesahkan hantaran tersebut namun enggan mengulas lanjut mengenainya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles