Monday, May 16, 2022

Annuar persoal dakwaan Umno makin kuat ketika pemimpin parti asak adakan PRU15

Menurut Annuar, kejayaan Umno menawan semula Johor pada PRN baru-baru ini hanyalah menerusi peratusan keluar mengundi yang rendah.

Other News

Ketua Umno Bahagian Ketereh Annuar Musa mempersoalkan cadangan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat, menegaskan bahawa kejayaan Barisan Nasional (BN) di Johor bukanlah ukuran tepat parti itu kini sudah kuat.

Annuar yang juga menteri komunikasi dan multimedia berkata, walaupun Umno berjaya menawan semula Johor menerusi majoriti besar pada pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini, ia hanyalah menerusi peratusan keluar mengundi yang rendah sebanyak 54.92%.

Beliau berkata, Umno perlu bersabar dan kaji lebih lanjut apakah yang bakal terjadi sekiranya peratusan undi meningkat dan sama ada keadaan ini akan memanfaatkan parti sekiranya berdepan PRU15.

“Apa jadi kalau peratusan undi jadi 80%? Penambahan 22% lagi itu siapakah mereka? Adakah mereka akan undi Umno? Ini perlu dikaji,” katanya dalam wawancara bersama Astro Awani, hari ini.

“Siapa yang tidak keluar (mengundi) itu? Kalau mereka keluar mengundi di PRU, adakah dia akan menyebelahi kita?”

Sebelum ini, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan menggesa supaya PRU15 diadakan secepat mungkin kerana menyifatkan sekarang adalah masa paling sesuai untuk parti itu meraih kemenangan memandangkan pihak lawan berada dalam keadaan berpecah dan lemah.

Cadangan itu disuarakan pada Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Rabu.

Mengulas lanjut, Annuar turut memperingatkan pencapaian dalam PRN Johor dan Melaka tidak boleh diambil sebagai petunjuk prestasi kerana kedua-dua negeri itu disifatkan sebagai kubu kuat Umno dan agak sukar untuk parti lawan menyaingi jentera mereka.

Namun begitu, beliau turut mendedahkan walaupun Umno Johor disifatkan sebagai antara Umno paling kuat dari segi kewangan, logistik, tenaga, anggota dan pemimpin, mereka masih memerlukan banyak bantuan dari luar kawasan untuk berjaya dalam pilihan raya baru-baru ini.

“Walaupun PAS ada di situ, PAS tak kuat di Melaka dan Johor. Adakah perkara sama akan berlaku di Terengganu, Kedah, Perlis, Kelantan dan Perak? Ini perlu dikaji juga.

“Tak salah untuk rasa gembira, berasa kuat tetapi jangan kita memerangkap diri kita sendiri,” katanya.

Mengulas mengenai proses mencadangkan PRU15, Annuar berkata perkara itu perlu diteliti secara menyeluruh memandangkan kerajaan pada masa ini terdiri daripada pelbagai parti dan Umno hanya menjadi sebahagian minoriti.

Dengan merujuk Perlembagaan, beliau berkata, cadangan untuk pembubaran Parlimen bagi melaksanakan PRU perlu merangkumi keputusan daripada perdana menteri bersama jemaah menteri sebelum dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Katakan PM kata bubar (Parlimen) tetapi yang lain tak sokong, PM perlu letak jawatan kerana dia sudah tiada kepercayaan.

“Apabila dia letak jawatan, kerajaan sedia ada berhak lantik PM baru dan mungkin ada parti baru akan gantikan tempat Umno (dalam kerajaan), jadi tak boleh bubar juga,” katanya yang turut menegaskan beliau bukan tidak bersetuju dengan cadangan tersebut, namun hanya meminta partinya berbincang terlebih dahulu.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles