- Iklan -
Berita

Selepas Muhyiddin, Dr Mahathir dedahkan Zahid minta bantuan bebaskan kes rasuah

Mahathir berkata Zahid datang ke rumahnya dan cuba berbaik-baik untuk minta bantuan berhubung kes rasuahnya di mahkamah.

Azzman Abdul Jamal
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Pejuang Dr  Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya hari ini.
Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya hari ini.

Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata beliau pernah didatangi Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang ingin meminta bantuan untuk membebaskan dirinya daripada pendakwaan rasuah di mahkamah.

“Dia datang ke rumah saya bersama dua tiga orang lagi dan dia cuba nak berbaik-baik dengan saya pada masa itu.

“Tetapi saya dah tahu masalah Zahid, dia ada kemungkinan akan ditahan pasal kes jenayah yang dilakukan olehnya,” kata bekas perdana menteri itu pada sidang media majlis Pelancaran Aspirasi Johor Parti Pejuang, di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin mendedahkan Zahid bertemunya bagi meminta bantuan dibebaskan daripada pertuduhan rasuah di mahkamah.

Bagaimanapun Zahid menafikan dakwaan itu dan mancabar Muhyiddin untuk melakukan sumpah laknat.

Mahathir menjadi perdana menteri kali kedua selama 22 bulan sebelum kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, beliau mendapat tahu selepas Umno kembali menjadi kerajaan, Zahid masih berusaha mendapatkan bantuan untuk membebaskan diri daripada pendakwaan mahkamah.

“Itu Zahid.. dan dia mahu siasatan terhadapnya dihentikan, itu benar,” kata Mahathir.

Sebelum ini, MalaysiaNow mendedahkan Zahid bertemu Muhyiddin dengan membawa fail mahkamahnya bagi meminta bantuan ahli Parlimen Pagoh yang baru beberapa hari dilantik sebagai perdana menteri selepas kerajaan PH tumbang.

Pertemuan itu turut diakui Muhyiddin baru-baru ini dan mengatakan beliau tidak menghiraukan permintaan Zahid dan memintanya untuk jalani proses mahkamah bagi membuktikan beliau tidak bersalah.

Semalam, ketika ditanya mengenai cabaran sumpah laknat Zahid, Muhyiddin berkata beliau enggan melakukannya kerana bercakap benar.

“Itu hak dialah, untuk sumpah atau tidak, bagi saya cakap yang benar kepada rakyat, jangan bohong.

“Saya tak bersumpah, saya tidak berbohong. Kata yang betul walaupun pahit. Apa yang saya sebut itu adalah hak,” katanya.