- Iklan -
Berita

Kemasukan hospital meningkat dalam kalangan kanak-kanak 11 tahun ke bawah, kata Khairy

Menteri kesihatan berkata kes baru yang dilaporkan dari minggu kelima hingga keenam tahun ini meningkat hampir 160%.

Nur Shazreena Ali
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada sidang media di Putrajaya hari ini. Gambar: Bernama
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada sidang media di Putrajaya hari ini. Gambar: Bernama

Jumlah kemasukan hospital akibat Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak berusia 11 tahun ke bawah meningkat, dengan rekod kes baru mencatatkan peningkatan hampir 160% sejak minggu kelima hingga keenam tahun ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Bercakap pada sidang media hari ini, beliau berkata sebanyak 6,524 kes direkodkan dalam kalangan kanak-kanak daripada bayi baru lahir hingga 11 tahun.

Daripada jumlah itu, katanya, 2,282 kes dikesan dalam kalangan kanak-kanak berumur empat tahun ke bawah, manakala 4,242 kes dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun.

“Sepanjang minggu kelima hingga minggu keenam, terdapat 16,959 kes,” tambahnya.

“10,796 kes dalam kalangan kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun, dan 6,163 kes dalam kalangan bayi baru lahir hingga empat tahun.”

Khairy turut menyuarakan kebimbangan mengenai kadar pendaftaran vaksinasi Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak yang menurutnya masih rendah.

“Bagi kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun, sudah ada vaksin yang diluluskan dan pemberian vaksinasi kanak-kanak ini sedang dilaksanakan di Malaysia,” katanya.

“Setakat ini, kami melihat sambutan yang agak baik namun pendaftaran tidak mencecah satu juta.”

Beliau menggesa ibu bapa supaya menggalakkan anak-anak supaya mematuhi SOP, baik bagi mereka yang telah divaksinasi atau tidak selain memupuk gaya hidup sihat dengan kekal aktif dan makan makanan berkhasiat.

“Dengan peningkatan kes yang ketara dalam kalangan kanak-kanak, kami berharap ibu bapa tampil untuk beri kebenaran untuk anak mereka divaksin,” katanya.