Saturday, July 2, 2022

Bagaimana ibu negara baru Indonesia beri manfaat kepada Sarawak

Pembangunan kediaman, penyediaan bahan binaan dan elektrik menjadi antara manfaat yang bakal diraih Sarawak susulan peralihan dari Jakarta ke Nusantara.

Other News

Pemain industri di Sarawak mengalu-alukan perkembangan terkini rancangan pemindahan ibu negara Indonesia dari Jakarta, mengatakan peralihan ke Kalimantan Timur di Borneo bakal meningkatkan pelaburan dalam sektor hartanah di negeri itu.

Rancangan Indonesia memindahkan ibu negaranya dari Jakarta pertama kali diumumkan pada 2019, berikutan bandar mega yang mempunyai populasi lebih 10 juta orang itu mengalami kesesakan kronik, selain berdepan masalah banjir dan pencemaran udara.

Presiden Indonesia Joko Widodo minggu lalu mengesahkan bahawa ibu negara baru negara itu akan dinamakan sebagai Nusantara.

Perancangan bandar raya yang akan memakan kos 466 trilion rupiah (RM134 bilion) itu dijangka siap pada 2024, selepas ia tertangguh akibat pandemik Covid-19.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah memberitahu MalaysiaNow Sarawak sudah lama merancang untuk menubuhkan pejabat perdagangan dan pelancongan di Pontianak, yang terletak di Kalimantan Barat.

“Jika bukan kerana pandemik Covid-19, rancangan untuk menubuhkan pejabat di sana sudah pun bermula,” katanya.

“Saya yakin selepas pandemik reda, kita akan dapat memulakannya.”

Memandangkan Nusantara akan ditubuhkan di Kalimantan, katanya, adalah penting bagi Sarawak untuk memiliki pejabat perdagangan di bandar itu bagi membantu usaha meningkatkan kedudukan negeri dalam pasaran global.

Usaha untuk meningkatkan kedudukan Sarawak dalam pasaran global berjalan sejak penubuhan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Singapura (Statos) pada 2019.

Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (Sheda) berkata peralihan modal dari Jakarta ke Nusantara merupakan perkembangan positif bagi industri itu.

Dengan penubuhan pusat perdagangan di Pontianak, ia akan memberi kekuatan kepada usaha menembusi pasaran serantau di samping turut dapat mempromosikan S-MM2H, program Malaysia Rumah Keduaku di Sarawak, katanya.

Menurut Sheda, rancangan Indonesia untuk memindahkan pusat pentadbiran ke Kalimantan Timur memerlukan pembinaan rumah dan pejabat baru kerajaan bagi kira-kira 1.5 juta penjawat awam di Kutai Kartanegara dan Penajam Paser Utara, yang sudah menempatkan kira-kira 900,000 penduduk.

Pengerusi Sheda Sim Kiang Chiok berkata ia juga mungkin akan membantu menarik lebih ramai pelajar ke Sarawak.

“Dengan program S-MM2H yang disemak semula, kita mungkin akan melihat permintaan bertambah bagi kediaman di negeri ini,” katanya kepada MalaysiaNow.

Selain itu, terdapat juga kemungkinan peningkatan dalam pelancongan perubatan kerana kebanyakan bandar di Indonesia masih kekurangan infrastruktur perubatan.

Bagaimanapun, katanya, ia bergantung kepada perhubungan antara kedua-dua Bandar raya selain kadar perkembangan pembangunan yang setara antara Sarawak dan Nusantara.

Chiok berkata kerja untuk membangunkan Nusantara memerlukan usaha bersama antara semua bahagian di rantau ini.

“Perpindahan ibu negara Indonesia ke Nusantara di selatan pulau Borneo akan memerlukan lebih banyak bahan binaan, buruh, jentera, makanan, perkhidmatan, pengangkutan dan penginapan,” katanya.

Beliau juga menjangka Sarawak bakal mendapat manfaat daripada rancangan Indonesia dalam usaha mengurangkan aktiviti perlombongan arang batu dan emas bagi menggalakkan penyahkarbonan.

Sejak tiga tahun lalu, Sarawak memulakan usaha pengeluaran hidrogen dan pembinaan beberapa stesen bahan api bersepadu di kawasan bandar dan lebuh raya utama.

“Kita boleh dapat manfaat dengan membekalkan Indonesia elektrik dan khidmat pakar dalam reka bentuk, pembinaan dan operasi empangan hidro,” kata Chiok, memetik empangan hidroelektrik mega Bakun, Murum dan Baleh di Sarawak.

Indonesia mengimport 100 hingga 120 megawatt elektrik dari Sarawak sejak tahun lalu bagi memenuhi keperluan kawasan sempadan di wilayah Kalimantan Barat.

Import tenaga elektrik itu adalah berdasarkan perjanjian kerjasama dua hala antara firma elektrik milik negara Indonesia PT Perusahaan Listrik Negara dan Sarawak Electricity Supply Corporation, anak syarikat Sarawak Energy Bhd.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles