Thursday, May 26, 2022

Menteri dalam negeri digesa henti dolak-dalik berhubung gadis tanpa kerakyatan

Lawyers for Liberty berkata Rohana Abdullah tidak seharusnya diisytiharkan sebagai individi tanpa kerakyatan sejak awal lagi, kerana dia berhak mendapat kerakyatan dari segi perlembagaan.

Other News

Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) hari ini mempersoalkan kenyataan menteri dalam negeri yang menyatakan siasatan menyeluruh diperlukan sebelum Rohana Abdullah boleh diisytiharkan sebagai warganegara, mengatakan gadis itu berhak dan tidak sepatutnya dikategorikan sebagai individu tanpa kerakyatan.

Dalam satu kenyataan, LFL juga mendakwa Hamzah Zainudin “berdolak-dalik” dan cuba melengahkan kewarganegaraan Rohana “dengan alasan kekurangan dokumen”.

“Tidak boleh dipertikaikan lagi bahawa Rohana dilahirkan di negara ini, tinggal di sini sepanjang hidupnya dan tidak pernah ke negara lain,” katanya.

“Oleh itu, tidak masuk akal untuk Hamzah bangkitkan isu status bapanya yang tidak lagi relevan di bawah Perlembagaan kerana dia dilahirkan di sini dan kini tiada kerakyatan.”

Awak minggu ini, LFL menggesa supaya rombakan dasar dilakukan berhubung individu tanpa kerakyatan susulan tular kisah mengenai Rohana, yang ditinggalkan semasa bayi dan dibesarkan oleh guru taska Chee Hoi Lan.

Rohana memohon kewarganegaraan pada 2016 namun tidak mendapat sebarang maklum balas.

Hamzah kemudiannya berkata dalam sebuah hantaran Facebook bahawa beliau “tersentuh” ​​dengan kisah gadis itu dan sedang meneliti kesnya.

Penyelaras LFL Zaid Malek bagaimanapun menolak kenyataan Hamzah bahawa lebih banyak dokumen diperlukan sebelum Rohana boleh diberikan kerakyatan.

“Hakikatnya, Rohana adalah seorang warganegara dan sepatutnya tidak dianggap tanpa kerakyatan oleh kementerian dalam negeri sejak dari awal.

“Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa anak yang dilahirkan di negara ini adalah warganegara mengikut kuat kuasa undang-undang. Ia adalah hak perlembagaan dan bukan budi bicara untuk dilaksanakan mengikut kehendak kementerian dalam negeri.

“Seterusnya, mana-mana kanak-kanak seperti Rohana yang tidak dilahirkan sebagai warganegara mana-mana negara lain secara automatik adalah warganegara mengikut Perenggan 1(e) Jadual Kedua,” katanya.

Dalam sebuah kenyataan, Zaid berkata beban untuk menafikan tuntutan terhadap kerakyatan terletak pada pihak berkuasa, sambil menambah individu seperti Rohana tidak sepatutnya dibiarkan dalam “ketidaktentuan undang-undang” sementara “siasatan sepatutnya” dijalankan.

Memetik kes di Mahkamah Persekutuan baru-baru ini, CCH & Anor lwn Pendaftar Besar bagi Kelahiran dan Kematian, Malaysia, beliau berkata Hamzah harus mengambil berat terhadap teguran hakim berhubung “perbuatan dolak-dalik dalam kes individu tanpa kerakyatan”.

“Tidak perlu panjangkan lagi nasib malang yang menimpa Rohana,” katanya.

“Tindakan demikian menunjukkan kerajaan secara jelas menentang apa yang jelas termaktub dalam Perlembagaan dan keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai perkara ini.”

Zaid berkata, jika Hamzah benar-benar “tersentuh” ​​dengan kes Rohana, beliau hanya perlu memastikan jentera pentadbiran KDN dan Jabatan Pendaftaran Negara mengikut undang-undang.

“Menteri dalam negeri boleh selesaikan kes Rohana dengan mudah,” katanya.

“Tiada keperluan untuk siasatan tidak bermakna ini, di mana ia kelihatan dilakukan bagi menutup kegagalan kementerian dalam negeri yang menyebabkan Rohana dibiarkan tanpa kerakyatan.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles