- Iklan -
Berita

Pengerusi PAC dikecam, kelirukan orang ramai berhubung prosiding terbuka terhadap Azam

Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin berkata Wong Kah Woh 'menokok tambah' Peraturan Mesyuarat Parlimen berhubung perkara itu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dijangka akan disoal siasat oleh PSC pada 19 Januari mengenai beberapa agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, sebuah jawatankuasa terdiri daripada ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), GPS dan Warisan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dijangka akan disoal siasat oleh PSC pada 19 Januari mengenai beberapa agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, sebuah jawatankuasa terdiri daripada ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), GPS dan Warisan.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Woh mendapat kecaman ekoran kenyataan terbarunya mengatakan speaker Dewan Rakyat mempunyai kuasa mendedahkan kepada umum siasatan berhubung pemilikan saham syarikat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.

Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin hari ini mendakwa Wong mengelirukan orang ramai berhubung isu tersebut, mengatakan ahli Parlimen Ipoh Timur itu merujuk kepada Peraturan Mesyuarat 90(2) ketika membuat kenyataannya.

“Speaker tidak betul,” Wong dilaporkan berkata demikian mengenai pendirian Azhar Harun bahawa Peraturan Mesyuarat tidak membenarkan prosiding terbuka.

“Beliau mempunyai kuasa untuk menggantung Peraturan Mesyuarat dengan merujuk perkara yang sama kepada Dewan bagi keputusan mengikut peruntukan Peraturan Tetap 90(2).”

Bagaimanapun, Mongin berkata Perintah Mesyuarat berkenaan tidak memberi peruntukan budi bicara kepada speaker untuk menggantung peraturan berkaitan jawatankuasa pilihan khas (PSC) selain tidak memberikan hak kepada speaker untuk menggantungnya.

“Seorang ahli Dewan Rakyat mesti memulakan soalan dan selepas itu barulah speaker boleh kemukakan kepada Dewan Rakyat untuk proses undian,” katanya dalam satu kenyataan.

“Ringkasnya, 90(2) hanya membenarkan mana-mana ahli Parlimen untuk mencadangkan untuk menggantung satu peraturan, dan sudah tentu ia bukan hak speaker mencadangkannya. Ia mengatakan speaker hanya boleh membenarkan soalan itu dikemukakan tanpa notis bagi proses undian di Dewan Rakyat. Itulah apa yang terkandung dalam Peraturan Mesyuarat 90(2). Tidak lebih, tidak kurang.

“Tetapi Wong menokok tambah, atau beliau kurang faham untuk mentafsir peraturan itu dengan betul.”

Semalam, Azhar mengesahkan kepada MalaysiaNow bahawa ahli-ahli PSC dilarang daripada mendedahkan butiran sebarang prosiding.

Azhar juga berkata, sebarang pelanggaran Peraturan Mesyuarat boleh menyebabkan anggota PSC dikenakan tindakan.

Menurut Azhar, laporan PSC hanya boleh diterbitkan selepas ia dibentangkan di Dewan Rakyat.

“Semua jawatankuasa, sama ada jawatankuasa tetap atau PSC mesti mengikut Peraturan Mesyuarat. Pada masa ini Peraturan Mesyuarat tidak memperuntukkan pendengaran awam atau membuat prosiding secara terbuka,” katanya.

Azam dijangka akan disoal siasat oleh PSC pada 19 Januari mengenai beberapa agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, sebuah jawatankuasa terdiri daripada ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), GPS dan Warisan.

Beliau kini disiasat berhubung dakwaan konflik kepentingan dalam pembelian saham syarikat berikutan penerbitan beberapa artikel blog oleh seorang aktivis yang mempunyai kaitan dengan NGO tempatan C4 Center.

Azam juga mengeluarkan surat tuntutan kepada penulis artikel tersebut, Lalitha Kunaratnam.

SPRM turut membuat laporan polis terhadapnya dan menyifatkan dakwaan Lalitha sebagai palsu dan tidak dikemukakan dengan bukti.